Anda di sini

PDP beri kerjasama, sokong calon PBB-GPS DUN Kabong

Advertisement
 PDP Kabong diketuai Lim (baju merah) mengadakan kunjungan ke Pusat Khidmat DUN Kabong dan disambut oleh Mohd Chee (tiga kiri) semalam.
BERI SOKONGAN: PDP Kabong diketuai Lim (baju merah) mengadakan kunjungan ke Pusat Khidmat DUN Kabong dan disambut oleh Mohd Chee (tiga kiri) semalam.

KABONG: Parti Demokratik Progresif (PDP) Cawangan Kabong bersedia memberi kerjasama dan menyokong sepenuhnya calon PBB-GPS Kabong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PDP Kabong Lim Kwang Yien berkata kerjasama dan persefahaman ini amat penting untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus kukuh dan berjuang mempertahankan hak negeri ini.

“PDP sentiasa berganding bahu dengan parti komponen GPS untuk memenangi kerusi pada PRN12 yang akan diadakan bila-bila masa.

“Kami (PDP Kabong) bersedia memberi kerjasama serta menyokong sepenuhnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir pada PRN12 nanti.

“Sokongan penuh itu bagi memastikan GPS menang besar pada PRN12 sekali gus diberi mandat memerintah negeri ini,” katanya semasa melakukan kunjungan hormat bersama jentera PDP ke atas ADUN Kabong di Pusat Khidmat DUN Kabong, semalam.

Justeru, beliau menggesa pengundi memberi sokongan padu kepada Mohd Chee sebagai calon GPS memberi peluang kepada beliau terus berkhidmat kepada rakyat dan memperjuang pembangunan kawasan DUN Kabong.

Lim berkata, kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memerlukan sokongan padu masyarakat negeri ini kerana kegagalan rakyat bersatu menyokong pemerintah akan menyukarkan pembangunan sesuatu tempat.

“Ketua Menteri memberi keutamaan terhadap pembangunan luar bandar dan sebagai rakyat luar bandar, kita harus menyokong usaha pembangunan seterusnya memberi kepercayaan kepada GPS memajukan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Mohd Chee berkata pihaknya amat menghargai sokongan jentera PDP Kabong memberi kerjasama dan sokongan sebagai sebuah parti komponen GPS pada PRN12 nanti.

“Saya berterima kasih kepada jentera PDP Kabong yang menyatakan hasrat bekerjasama dengan PBB dan GPS serta memberi sokongan kepada kita dan ia amat dihargai,” jelasnya.

Advertisement