Anda di sini

Masalah sampah-sarap tersumbat di Kejapil, Bekenu perlu perhatian PBT

Advertisement
 Zulhaidah (kanan) sambil ditemani penduduk kampung melihat keadaan sampah-sarap tersekat setelah dibuang ke sungai.
TINJAU: Zulhaidah (kanan) sambil ditemani penduduk kampung melihat keadaan sampah-sarap tersekat setelah dibuang ke sungai.

MIRI: Ketua Wanita PKR Cawangan Subis, Zulhaidah memohon agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Subis membekalkan tong-tong sampah mencukupi bagi keperluan penduduk di kawasan Kejapil, Bekenu dekat sini.

Zulhaidah ketika menunjukkan gambar-gambar yang sempat dirakamkan oleh beliau kepada Utusan Borneo semalam memberitahu masalah tersebut berlarutan sejak sekian lama.

Namun, berikutan hujan kerap turun kebelakangan ini dan menghanyutkan sampah-sarap ke dalam sungai dan seterusnya tersekat di bawah jambatan konkrit di kampung tersebut menimbulkan bau kurang menyenangkan penduduk sekitarnya.

Menurut penduduk kampung tinggal sekitar sungai tersebut, sampah-sarap hanyut dari kawasan hulu ke hilir sungai dibuang segelintir penduduk ke sungai.

Tindakan itu menyebabkan pencemaran alam sekitar dan menyebabkan tersumbat aliran air sungai di kawasan berhampiran.

“Apabila hujan sampah-sarap hanyut ke sungai kecil dan terperangkap di depan laluan parit di bawah jambatan kecil di kampung tersebut, ia menimbulkan bau busuk,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan penduduk kawasan berhampiran jika hujan lebat berterusan dengan lebih banyak sampah-sarap tersekat di hadapan laluan sungai kecil sehingga menghalang aliran air boleh menyebabkan banjir kilat di Kampung Kejapil.

Advertisement