Anda di sini

Mahkota Biggie dijual pada harga AS$595,000 di lelongan hip hop

Advertisement
__alt__

MAHKOTA plastik yang dipakai oleh penyanyi rap Biggie sewaktu satu sesi bergambar hanya bebe-rapa hari sahaja sebelum dia dibunuh telah dijual di lelongan dengan harga AS$594,750 di New York.

Mahkota itu menjadi tumpuan utama dalam jualan pertama oleh Sotheby’s yang memberi tumpuan khusus kepada hip hop yang memaparkan lebih 120 lot termasuk barangan kemas, kesenian dan efemera lain dalam genre tersebut yang lahir di kawasan Bronx.

Mahkota itu dipakai oleh The Notorious B.I.G., terkenal dengan lagu-lagu hit seperti ‘Juicy’, ‘Big Poppa’ dan ‘Hypnotize’, sewaktu rakaman sesi bergambar terakhirnya pada 1997, hanya tiga hari sahaja sebelum pembunuhannya yang mengejutkan di Los Angeles.

Jurugambar Barron Claiborne, yang mengambil gambar yang kini abadi bagi artis yang dilahirkan sebagai Christopher Wallace itu, telah mengemukakan artifak rap itu untuk dijual.

Ia dijual dengan harga yang hampir dua kali ganda anggaran tinggi sebelum jualan iaitu AS$300,000.

Ia adalah jumlah yang agak tinggi bagi mahkota yang diperbuat daripada plastik dan dibimbangi pada mulanya oleh Sean ‘Diddy’ Combs, yang merupakan pemilik label Biggie ketika itu, akan menjadikan bintang hip hop itu kelihatan seperti ‘Burger King’ dan bukan ‘King of New York’.

Dalam perkembangan lain, 22 pucuk surat cinta yang ditandatangani dan ditulis oleh seorang lagi bintang rap Tupac Shakur kepada teman wanitanya Lathy Loy ketika dia remaja di Baltimore telah dijual dengan harga AS$75,600.

Tupac, dengan lagu hit seperti ‘California’, ‘Changes’, ‘Dear Mama’ dan ‘All Eyez On Me’, turut mati ditembak beberapa bulan sebelum Biggie.

Kes pembunuhan kedua-dua bintang paling berpengaruh dalam hip hop masih belum diselesaikan.

Koleksi 32 ‘boombox’ vintaj, yang menjadi lambang hip hop pada tahun 1980an dijual dengan harga AS$113,400, harga kedua tertinggi di lelongan lewat Selasa lepas.

Penjualan itu menjejaki perkembangan hip hop sejak ia lahir pada hujung tahun 1970an sehingga ‘Zaman Keemasan’ pada pertengahan tahun 1980an hingga pertengahan tahun 1990an dan sekarang.

Sebahagian daripada perolehan akan disalurkan kepada organisasi komuniti bukan mencari keuntungan, termasuk program muzik dan DJ ‘Building Beats’ yang bertujuan untuk menyantuni golongan belia yang kurang diberi khidmat. — AFP

Advertisement