Anda di sini

Kerajaan PN akan lebih sensitif terhadap suara NGO Islam: PM

Advertisement
 Muhyiddin (kanan) menerima Resolusi daripada Nasrudin (kiri) pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Pemimpin Pemimpin Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO Islam) di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
CENDERAMATA: Muhyiddin (kanan) menerima Resolusi daripada Nasrudin (kiri) pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Pemimpin Pemimpin Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO Islam) di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan bersama pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO Islam) di Putrajaya semalam memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan lebih sensitif dan responsif terhadap suara NGO Islam.

Muhyiddin berkata ada pemimpin NGO Islam menyuarakan kebimbangan kepadanya mengenai cabaran besar yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, antaranya berkaitan perkembangan baharu dalam pemikiran dan cara hidup masyarakat yang dilihat mengancam akidah dan akhlak umat Islam.

“Ini termasuklah pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme Barat yang tidak melihat agama sebagai sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, yang sebaliknya lebih mengagungkan kebebasan individu yang tidak terbatas sehingga melanggar hukum-hakam dan syariat Islam.

“Saya juga mempunyai pendirian yang sama mengenai betapa pentingnya kita memberikan keutamaan kepada usaha-usaha untuk mengangkat kesucian agama Islam, memperkasa institusi-institusi yang menyumbang kepada kemajuan umat Islam dan memperkukuhkan perpaduan ummah,” katanya dalam perjumpaan khas bersama pemimpin NGO Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini.

Muhyiddin berkata pengaruh ideologi itu telah mewujudkan pelbagai bentuk gerakan di peringkat antarabangsa dan juga di Malaysia yang mendesak supaya pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam dikaji semula.

“Ini merangkumi gerakan yang menuntut supaya sebahagian daripada undang-undang Islam dimansuhkan dan amalan-amalan yang jelas menyeleweng daripada syariat Islam seperti LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dan ajaran sesat dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu telah mewujudkan keresahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan menyebabkan ramai pimpinan NGO Islam yang bangkit mempertahankan kemurnian akidah umat Islam dan membela kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan di Malaysia.

Namun dalam usaha untuk membela dan mempertahankan kesucian agama Islam dan kemurnian akidah umat Islam, Muhyiddin mengingatkan agar tidak mengambil pendekatan yang ekstrem atau melampau sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam serta keselamatan negara, dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang diambil terhadap pihak-pihak yang menyebarkan amalan dan fahaman ekstremisme tanpa mengira agama,” katanya.

Muhyiddin turut berharap agar Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang ditubuhkan pada 2009 dapat digerakkan semula oleh barisan kepimpinan YADIM baharu dalam membantu pihak kerajaan memperkasa usaha dakwah dan tarbiyyah di negara ini.

Penubuhan MAIM itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menjadi platform penyelarasan NGO-NGO Islam di Malaysia.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan, Nasrudin menyerahkan resolusi daripada NGO-NGO Islam kepada Muhyiddin.

Muhyiddin berkata beliau percaya resolusi yang diserahkan kepadanya melambangkan keprihatinan dan komitmen para pimpinan NGO Islam terhadap usaha untuk meningkatkan syiar Islam dan memajukan ummah.

“InsyaAllah, saya akan meneliti dan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap syor-syor yang telah dikemukakan,” katanya. — Bernama

Advertisement