Anda di sini

Kempen derma darah anjuran NSJA dapat sambutan menggalakkan

Advertisement
 Lee (belakang tiga kiri) dan tetamu bersama tiga penderma baharu di Miri semalam.
PENGHARGAAN: Lee (belakang tiga kiri) dan tetamu bersama tiga penderma baharu di Miri semalam.

MIRI: Kempen derma darah kali kedua dianjurkan Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri mendapat sambutan menggalakkan apabila daripada 63 pengunjung berdaftar, seramai 58 orang berjaya menderma darah termasuk 11 penderma baharu.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin yang hadir menyempurnakan majlis perasmian program tersebut memuji usaha kerja-kerja komuniti dimainkan oleh NSJA.

“NSJA secara aktif melakukan pelbagai kerja-kerja sosial dan kemasyarakatan selain dari kesibukan mereka sebagai wartawan.

“Antara yang dijalankan ialah derma darah, pembersihan terumbu karang dan projek-projek lain, justeru penglibatan aktif mereka dalam memberi sumbangan kepada masyarakat layak untuk dipuji,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Naib Pengerusi PBSM Miri itu mengucapkan terima kasih khasnya kepada masyarakat di sini kerana memberi sumbangan aktif kepada Tabung Darah bagi memastikan bekalan darah mencukupi.

“Sehingga kini, pusat latihan PBSM Miri yang ditubuhkan sebagai pusat menderma darah bermula pada 25 Mac lalu berjaya menganjurkan 60 sesi menderma darah dengan jumlah 2,218 peserta berdaftar dan 1,871 penderma berjaya.

“Sebagai pelopor usaha pendermaan darah secara sukarela di negara ini, masyarakat Miri harus bangga dengan diri mereka sendiri kerana sokongan berterusan membuahkan hasil dalam memastikan bekalan darah mencukupi.

“Bukan itu saja, Tabung Darah Hospital Miri dapat membekalkan darah ke hospital lain seperti Limbang dan ke Sabah. Kami berharap sokongan ini berterusan kerana satu pain darah dapat menyelamatkan tiga nyawa,” jelasnya.

Sementara itu, pengerusi penganjur Michelle Choo juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai tampil menyokong kempen ini.

“Pada mulanya kami menganggarkan sekitar 50 penderma dan jumlah didaftarkan melebihi jangkaan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penaja Regal Marketing & Trading Sdn Bhd (Indocafé), Shun Shen Lee Rice Sdn Bhd dan Julie’s Manufacturing Sdn Bhd atas tajaan.

Hadir sama Presiden NSJA Andy Jong, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengambilan Penderma Darah PBSM Miri, Karambir Singh dan Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong.

Advertisement