Anda di sini

Bundesliga: Bayern Munich ratah Schalke dalam aksi pembukaan

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Bundesliga di antara Bayern Munich dan Schalke di Munich, Jerman. — Gambar AFP
RANCAK: Antara babak-babak aksi perlawanan Bundesliga di antara Bayern Munich dan Schalke di Munich, Jerman. — Gambar AFP

MUNICH: Leroy Sane berkata Bayern Munich mengidamkan lebih banyak piala selepas pemain sayap Jerman itu menjaringkan gol dalam penampilan sulungnya dalam kemenangan 8-0 yang bersejarah ke atas Schalke kelmarin dalam perlawanan pembukaan musim baharu Bundesliga.

“Kami masih lapar, walaupun kami memenangi kejuaraan ‘treble’ pada musim lepas,” kata Sane selepas dia mencipta dua gol untuk Serge Gnabry, yang menjaringkan hatrik dalam pesta gol di stadium Allianz Arena.

“Memenangi perlawanan pertama kami 8-0 di tempat sendiri sudah tentulah hebat sekali.

“Ia rasa sangat, sangat bagus akhirnya untuk dapat bermain bersama para pemain lain,” kata Sane, yang menghabiskan kebanyakan waktu pada musim lepas di tepian di kelab lama Manchester City selepas dia mencederakan ligamen lutut pada awal musim lepas.

“Hari ini sangat bagus sekali dengan banyak jaringan.”

Hanya 26 hari sahaja selepas mereka memenangi perlawanan akhir Liga Juara-Juara, Bayern meneruskan kecemerlangan mereka pada musim leps dengan kemenangan ke-22 berturut-turut.

“Ia adalah menakjubkan bagaimana pasukan ini telah menjadikan prestasi pada musim lepas sebagai asas,” kata ahli lembaga dan bekas kapten kelab Bayern, Oliver Kahn.

Keputusan yang menakjubkan itu merupakan kemenangan tertinggi dalam perlawanan pembukaan bagi musim baharu Bundesliga – tepat lima minggu selepas Bayern membelasah Barcelona 8-2 pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Leon Goretzka, Thomas Mueller dan Robert Lewandowksi turut menjaringkan gol manakala pemain remaja antarabangsa England berusia 17 tahun, Jamal Musiala, menjadi penjaring gol paling muda Bayern dalam Bundesliga selepas dia dimasukkan pada hujung perlawanan.

Bayern terpaksa mengetepikan masalah dalam masa beberapa hari menjelang sepak mula. — AFP

Advertisement