Anda di sini

Bintulu bakal miliki ‘Farm In The City’

Advertisement
 Rodziah (kanan) menerima cenderamata daripada Simon pada majlis tersebut.
PENGHARGAAN: Rodziah (kanan) menerima cenderamata daripada Simon pada majlis tersebut.

BINTULU: Bintulu bakal memiliki zoo dalam bandar yang juga taman ekologi dikenali sebagai ‘Farm In The City,’ kata Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi.

Beliau berkata, ia mengambil konsep taman rekreasi haiwan di tengah-tengah kota seperti di Pusat Bandar Permai, Seri Kembangan, Selangor.

Menurutnya, Seri Kembangan mempunyai bangunan pencakar langit dan lebuh raya tetapi dalam kawasan tanah empat ekar, mereka mencipta hutan dalam kota dengan menempatkan haiwan yang dapat dilihat secara lebih dekat.

Katanya, haiwan-haiwan jinak ini tidak takut dengan kehadiran manusia, maka dengan mengambil cara sama pembangunan projek ini di Taman Tumbina Bintulu akan mampu menjadi tarikan tambahan pada masa akan datang.

“Kita telah bercakap mengenai projek ini sejak tiga tahun lepas dan kita tidak mahu mengejutkan orang awam di Bintulu terutama berkaitan dengan elemen subsidi untuk caj kemasukan ke taman ini.

“Semasa kita membuka laman sesawang untuk Taman Tumbina, maklum balas daripada orang awam (untuk mengunjungi taman ini) bertambah baik terhadap koleksi haiwan yang ada dan kepelbagaiannya,” katanya semasa melancarkan projek pembinaan Eco Panorama’ dikenali sebagai ‘Farm In The City’ di Greens Hotel & Suites di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Eco Panorama Kapitan Dr Simon Hong Yu Liing, Pengarah Projek Eco Panorama Michael Hii, Pemangku Timbalan Pengurus Besar BDA Rahim Abdullah, Penolong Pengurus Besar( Khidmat Korporat) Hasiah Morshidi, Setiausaha/Pengurus Kanan(Perundangan) Maimunah Matali, Penolong Pengurus Besar (Khidmat Alam Sekitar) Wan Ibrahim Wan Ali, Temenggung Barry Yek, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI), Yek Siew Liong serta pengurus-pengurus kanan BDA.

Advertisement