Anda di sini

Berselindung di sebalik ‘senyuman manis’

Advertisement
 Lampard menyaksikan pasukannya beraksi menentang Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada minggu lalu. — Gambar AFP
TEGANG: Lampard menyaksikan pasukannya beraksi menentang Brighton dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada minggu lalu. — Gambar AFP

LONDON: Pengurus Chelsea Frank Lampard menegaskan dia ‘amat menghormati’ Jurgen Klopp walaupun hubungannya dengan pengurus Liverpool itu tegang.

Lampard melemparkan kecaman yang sarat dengan kata-kata kesat di tepi padang kepada Klopp dan penolongnya Pep Lijnders apabila kemarahan berlaku sewaktu Chelsea kalah 5-3 di Liverpool pada musim lepas.

Dia menyusuli kecaman itu dengan memberi amaran kepada Klopp untuk tidak menjadi ‘terlalu bongkak’ dan permusuhan itu telah dibawa ke dalam kempen baharu, dan kunjungan Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ke Chelsea pada malam ini (Ahad) mungkin satu lagi takat kilat yang berpotensi dalam permusuhan yang semakin berkembang.

Klopp telah mengkritik perbelanjaan sebanyak £200 juta (RM1.2 bilion) yang dibuat oleh Lampard pada waktu luar musim – termasuk kejayaan Chelsea menewaskan Liverpool untuk menandatangani penyerang Jerman Timo Werner.

Dia berkata kelabnya tidak dapat bertindak dengan cara yang sama seperti kelab yang dimiliki golongan oligark, yang merujuk kepada pemilik pasukan The Blues, Roman Abramovich.

Lampard menjawab dengan menyatakan ia “sedikit melucukan” untuk melihat Klopp merungut tentang pelaburan perpindahan Chelsea sedangkan Liverpool pernah berbelanja besar pada masa lalu.

Tetapi Klopp bersikap diplomatik tentang hubungan mereka pada minggu ini, dan menegaskan dia mengagumi Lampard sebagai pemain dan kerjanya sebagai pengurus.

Lampard juga ingin menamatkan perbalahan mereka apabila dia bercakap kepada media menjelang perlawanan Chelsea menentang juara EPL itu, dan berkata dia amat menghormati seterunya.

“Apa yang dia telah buat selama dia berada di Liverpool adalah menakjubkan dan itu adalah kerana dia sebagai titik tumpuan kelab serta bakat individu yang mereka telah bawa masuk,” kata pengurus Chelsea itu kelmarin.

“Sifat dunia yang kita diami ialah masa siaran begitu banyak sekali untuk anda isi dengan perseteruan. Ia dapat diteliti dalam setiap cara.

“Ia tidak ada apa-apa bagi saya. Sifat kompetitif dalam masa 90 minit dapat sentiasa menggelegak dalam pelbagai arah. Rasa hormat yang saya ada bagi Jurgen Klopp tidak akan pernah berubah.”

Chelsea tewas tipis sebanyak tiga kali kepada Liverpool pada musim lepas, tetapi mereka berjaya menyingkirkan para pemain Klopop dari Piala FA.

Selepas menamatkan musim 33 mata di belakang Liverpool, perbelanjaan Lampard telah meningkatkan jangkaan bahawa Chelsea akan memberikan cabaran kejuaraan yang serius pada musim ini.

Walaupun Lampard menafikannya, menewaskan Liverpool dalam perlawanan kedua mereka pada musim ini akan meletakkan penanda kejuaraan yang jelas bagi Chelsea, yang membuka kempen dengan kemenangan 3-1 di Brighton pada Isnin lepas.

“Saya tidak rasa ia adalah perlawanan untuk membuat kenyataan, ia adalah perlawanan kedua bagi musim ini,” kata Lampard.

“Pada Isnin lepas, kami berada dalam zon pramusim dari segi kecergasan. Sekarang kami menentang pasukan terbaik di negara ini pada musim lepas.

“Ia adalah cabaran yang bagus. Kami agak berjaya ketika menentang mereka pada tahun lepas. Ia adalah satu cabaran untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan menentang pasukan lawan terkemuka."

Lampard mengesahkan Christian Pulisic, Thiago Silva, Ben Chilwell dan Hakim Ziyech tidak dapat bermain untuk menentang Liverpool kerana isu kecergasan, tetapi Werner bersedia selepas mengalami kaki kebas ketika menentang Brighton.

Selepas kritikan terhadap Ruben Loftus-Cheek ekoran persembahan hambar pemain tengah Chelsea itu pada Isnin lepas, Lampard mempertahankan pemainnya dan meminta agar dia diberi masa untuk pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan tumit.

“Ruben mengalami kecederaan yang teruk, dan dia telah berusaha gigih untuk pulih daripada kecederaan,” katanya. — AFP

Advertisement