Anda di sini

APM tangkap ular sawa di IPD Miri

Advertisement
 Anggota APM berjaya menangkap ular sawa batik sepanjang tiga meter di IPD Miri malam kelmarin.
UNTUK KESELAMATAN: Anggota APM berjaya menangkap ular sawa batik sepanjang tiga meter di IPD Miri malam kelmarin.

MIRI: Seekor ular sawa berukuran tiga meter berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini, malam kelmarin.

Pegawai APM Miri Kapten (PA) Usman Harto berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu lelaki mengenai ular tersebut kira-kira jam 10.42 malam.

“Sepasukan tiga anggota APM diketuai Koperal (PA) Mohd Nashree bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.

“Tiba di lokasi, pengadu memaklumkan beliau terlihat ular tersebut semasa baru balik dari kerja dan kemudiannya terus menghubungi APM meminta bantuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Usman berkata, anggotanya berjaya menangkap seekor ular sawa batik dianggarkan sepanjang tiga meter itu menggunakan peralatan khas dan kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri.

Terdahulu, pasukan yang sama turut menjalankan operasi memusnahkan sarang serangga di Jalan Delonix, Krokop Utama sekitar jam 8 malam.

Usman berkata APM pada mulanya menerima panggilan kecemasan daripada pengadu lelaki berusia 71 tahun mengenai sarang itu pada jam 9.30 pagi.

“Apabila skuad tiba di lokasi pada sebelah malam, pengadu memaklumkan bahawa beliau menyedari kehadiran serangga iaitu lebah lalat ketika sedang membersihkan kawasan pokok tersebut.

“Sarang tersebut berjaya dimusnahkan menggunakan teknik semburan racun serangga dan dibakar,” ujar beliau.

Advertisement