Anda di sini

Alcantara ‘ramuan’ tambahan dalam menguatkan skuad Liverpool: Klopp

Advertisement
ALCANTARA
ALCANTARA

LONDON: Jurgen Klopp memuji Thiago Alcantara sebagai seorang daripada segelintir pemain di dunia yang dapat menambah baik Liverpool selepas pemain Sepanyol itu tiba dari Bayern Munich kelmarin.

Dianggap ramai sebagai salah seorang pemain tengah terbaik di dunia, Thiago memenangi tujuh kejuaraan Bundesliga dalam tempoh tujuh tahun di Bayern dan memainkan peranan penting ketika mereka menjulang Liga Juara-Juara pada bulan lepas dalam perlawanan terakhirnya bagi kelab tersebut.

Bagaimanapun, dengan baki hanya setahun sahaja lagi dalam kontraknya, Liverpool hanya membayar kos sebanyak £20 juta (RM120 juta) dan £5 juta (RM30 juta) dalam bayaran tambahan untuk mendapatkan tandatangannya.

Pemain berusia 29 tahun itu menjadi pemain penting pertama yang ditandatangani Liverpool dalam tempoh dua tahun, di mana mereka telah memenangi Liga Juara-Juara dan kejuaraan liga Inggeris pertama dalam tempoh 30 tahun.

“Dia adalah seorang pemain yang amat luar biasa sekali dan anda adalah betul, ia adalah sukar untuk menambah baik sesebuah pasukan seperti kami pada waktu ini dalam cara biasa,” kata Klopp.

“Beberapa kemahiran yang amnya agak unik tetapi agak sesuai bagi kami. Ia tidak menyebut apa-apa tentang pemain lain, ia cuma berbeza dan itulah apa yang saya benar-benar minati.”

Thiago berkata dalam sepucuk surat terbuka yang emosional kepada penyokong Bayern kelmarin bahawa ia adalah tarikan cabaran baharu yang meyakinkannya untuk meninggalkan kelab itu selepas berjaya memenangi banyak piala di Jerman dan di Barcelona, di mana dia memulakan kariernya.

“Dia juga agak teruja tentang peluang itu, jadi kita perlu meyakinkannya dengan banyak,” tambah Klopp.

“Itu juga membantu, bahawa seseorang benar-benar mahu menjadi sebahagian daripada projek khusus adalah bagsu. Semua perkara kita bersetuju bersama. Itu adalah situasi menang-menang dan saya amat gembira kerana kami dapat melakukannya.”

Thiago bukan satu-satunya pemain berprofil tinggi yang telah meninggalkan Bundesliga untuk pergi ke Liga Perdana Inggeris sewaktu jendela perpindahan selepas kebanyakan perbelanjaan Chelsea sebanyak £200 juta (RM1.2 bilion) digunakan untuk membawa Timo Werner dan Kai Havertz ke England. — AFP

Advertisement