Anda di sini

Rumah panjang kawasan Dudong disarankan buat pinjaman HDC

Advertisement
 Dr Sim (kiri) dan Wong (dua kiri) bercakap dengan Kayak (dua kanan) pada Sesi Bertemu Rakyat di Rumah Monica, Hulu Sungai Durin dekat Sibu.
BINCANG: Dr Sim (kiri) dan Wong (dua kiri) bercakap dengan Kayak (dua kanan) pada Sesi Bertemu Rakyat di Rumah Monica, Hulu Sungai Durin dekat Sibu.

SIBU: Rumah-rumah panjang kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong disarankan membuat pinjaman dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi menaik taraf atau memperbaiki rumah panjang masing-masing.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata pinjaman tersebut boleh dibuat melalui SUPP Cawangan Dudong diketuai Wong Ching Yong.

“Setiap pintu mendapat maksimum RM30,000. Pinjaman ini tidak dikenakan sebarang faedah dan tempoh pembayaran adalah 300 bulan.

“Pinjaman ini disediakan oleh kerajaan negeri atau kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” katanya ketika mengadakan Sesi Bertemu Rakyat di Rumah Monica Gelima Ubong, Ulu Sungai Durin dekat sini.

Hadir sama Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting dan Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata kawasan DUN Dudong ketinggalan pembangunan kerana dalam sembilan tahun terakhir ini, tidak ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada GPS.

Justeru, beliau menggesa penduduk di Rumah Monica memberi sokongan padu kepada calon GPS-SUPP pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

ADUN Batu Kawah itu turut menekankan bahawa setiap ADUN GPS mendapat dana kerajaan sejumlah RM7 juta setahun daripada kerajaan GPS.

“Dengan pembiayaan ini, kemudahan infrastruktur di DUN Dudong dapat dipertingkatkan dengan pesat sekiranya mempunyai wakil rakyat daripada GPS,” katanya.

Sementara itu, Wong yang juga timbalan pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) mendapati rumah panjang di Dudong mempunyai banyak masalah seperti masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air, rumah lama memerlukan pembaikan serta penyelenggaraan dan banyak jalan rosak teruk dan sebagainya.

“Sebab utama mengakibatkan semua masalah ini iaitu setelah bekas ADUN Dudong Datuk Dr Soon Choon Teck bersara pada 2011, ADUN Dudong dan Ahli Parlimen Lanang semuanya daripada parti pembangkang.

“Oleh itu, mereka tidak dapat membantu rakyat Dudong dengan berkesan,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Penghulu Philip Kayak Brandah yang merupakan ahli lama SUPP mendesak penduduk Rumah Monica memberi sokongan penuh kepada Wong sebagai calon GPS-SUPP bagi merampas kembali kerusi Dudong agar rakyat Dudong mempunyai masa depan lebih baik.

Advertisement