Anda di sini

Puluhan tahun BN mendapat mandat tetapi kemudahan asas masih kurang

Advertisement
SHAFIE
SHAFIE

PAPAR: Kemudahan asas di seluruh Sabah masih serba kekurangan walaupun sudah berpuluh tahun Barisan Nasional (BN) memerintah negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pemimpin parti berkenaan sehinggalah sayap-sayapnya hanya pergi Putrajaya, Kuala Lumpur dan membandingkan kemudahan sana dengan di Sabah.

"Sabah sudah merdeka, sebuah negeri yang kaya dan bukannya miskin. Mandat apa yang mereka dakwa perolehi pada pilihan raya lalu, kita sudah tumbangkan mereka.

"Puluhan tahun dapat mandat, jambatan Papar pun tiada, sekolah masih banyak perlukan bantuan, kemudahan asas di seluruh Sabah pun tidak cukup," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di sini, semalam.

Beliau berkata, terdapat pihak di pembangkang hanya bersembunyi di belakang tadbir. WARISAN Plus akan menentang mereka ini.

"Mahu rebut kuasa, mahu ambil kuasa gunakan kewangan dan harta, tidak perlu layanlah sangat orang berkenaan," katanya.

Sebelum itu, ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Kawang, Shafie menjelaskan pemberian bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini adalah berdasarkan nama-nama yang tersenarai dalam laman sesawang e-kasih.

Katanya, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan sejumlah RM52 juta khusus untuk bantuan-bantuan berkenaan untuk seluruh negeri.

"Kita telah sediakan peruntukan itu dan kita akan pastikan ia sampai kepada mereka yang sepatutnya.

"Kini masih terdapat tiga sehingga lapan juta lagi, dan hari ini saya sudah bagi  arahan untuk sampaikan bantuan terbabit ke kawasan yang sebelum ini tidak sampai," katanya.

Beliau berkata, pejabat daerah kawasan berkenaan sudah diarahkan untuk meneruskan usaha terbabit.

Katanya, bantuan RM300 tidak semua yang dapat tetapi bantuan beras keseluruhannya terima.

"Bantuan kepada pemandu teksi kita bagi semua asalkan berdaftar, begitu juga nelayan yang berdaftar.

"Pasukan barisan hadapan pun dapat bantuan berkenaan termasuk pesakit COVID-19," katanya.

Berkaitan dengan penularan COVID-19 di kluster-kluter baharu di Pantai Timur Sabah, Shafie menjelaskan Kementerian Kesihatan sedang  mengurus dengan baik perkara itu.

Katanya, pergerakan di kawasan-kawasan merah dikurangkan dan tidak boleh dibiarkan. Tetapi kerajaan tidak tutup (lockdown).

"Ia berasal dari kluster penjara dan merebak disebabkan terdapat pegawai penjara yang  menjadi pengadil dalam pertandingan bola sepak dan ada juga menjadi pemain.

"Keadaan ini akan diuruskan sebaik-baiknya oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement