Anda di sini

Petani perlu ubah kepada konsep moden, komersil

Advertisement
 Rolland menyempurnakan perasmian AgriCOP bagi kawasan DUN Meluan semalam.
RASMI: Rolland menyempurnakan perasmian AgriCOP bagi kawasan DUN Meluan semalam.

SARIKEI: Petani di kawasan pedalaman perlu mengubah rentak dan cara mengusahakan kebun atau ladang mereka daripada tradisional kepada konsep moden dan komersil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin berkata perubahan itu penting bagi melonjakkan hasil pertanian mereka kepada kuantiti lebih tinggi dan berkualiti.

Beliau berkata, sektor pertanian masa kini semakin berkembang dan mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan dalam skala besar.

“Konsep pertanian sara diri wajar diubah, jika golongan ini ingin meraih pendapatan tinggi kerana masa kini permintaan terhadap produk dan hasil tani amat tinggi.

“Dengan platform dan kelebihan sedia ada kita harap golongan ini dapat melihat ke hadapan menggunakan setiap peluang serta bantuan disediakan kerajaan sebagai landasan berkembang maju menjadi golongan tani yang berjaya,” katanya pada Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) DUN Meluan di sini semalam.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak menyediakan pelbagai peluang dan bantuan kepada golongan ini dengan matlamat memastikan Sarawak kekal sebagai salah sebuah negeri utama menghasilkan produk pertanian dan makanan.

Katanya langkah itu juga merupakan sebahagian daripada cara kerajaan mengurangkan jumlah import hasil pertanian dan bahan makanan dari negara luar.

“Oleh itu, kerajaan sentiasa mencari jalan dan usaha membantu golongan tani dan seterusnya mengembangkan bidang pertanian.

“Masyarakat perlu melihat perkara ini sebagai peluang amat baik jika mereka ingin menceburi bidang ini dengan serius dan menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama,” jelasnya.

Rolland berkata, program berkenaan menjadi landasan merapatkan hubungan dan kerjasama Jabatan Pertanian dan masyarakat petani, peladang dan penternak ikan di kawasan pedalaman.

Katanya, ia juga memberi pendedahan secara langsung mengenai teknologi pertanian terkini melalui syarahan, pameran dan model serta demonstrasi pertanian.

“Tahun ini, kita memperolehi peruntukan sejumlah RM120,000 untuk mengadakan sembilan program dan RM1 juta untuk projek penanaman durian Musang King di kawasan DUN Meluan,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Brian Fung Kok, Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei Rainy Yaman, Ketua Bahagian Pengembangan, Jabatan Pertanian Sarawak Ronald Ripid serta ketua-ketua masyarakat.

  • oleh
  • Advertisement