Anda di sini

Perusahaan kuih tempatan mampu jana pendapatan masyarakat setempat

Advertisement
 Shahelmey merasa kuih penjaram pada lawatan ziarah ke Program Memasak Panjaram di kediaman Halimah Alang Laut (duduk kiri) di Kampung Sri Pandan, Putatan.
RASA: Shahelmey merasa kuih penjaram pada lawatan ziarah ke Program Memasak Panjaram di kediaman Halimah Alang Laut (duduk kiri) di Kampung Sri Pandan, Putatan.

PUTATAN: Perusahaan kuih tradisional mampu menjana pendapatan masyarakat setempat. 

Bagi calon Barisan Nasional (BN) untuk DUN N. 24 Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya, bagi penduduk tempatan, kuih muih seperti Panjaram, Bombai dan Kuih Cincin dapat memperkenalkan industri makanan tradisi ke peringkat lebih tinggi.

"Terutamanya di kalangan kaum hawa yang menceburi bidang masakan kuih tradisional ini, ia sebenarnya boleh diketengahkan secara meluas. 

"Sehubungan itu, kuih seperti Panjaram ini berpotensi besar pasarannya dan di Putatan ini misalnya, ia merupakan kuih tradisional yang popular serta sering mendapat tempat di kalangan orang ramai," katanya. 

 Kuih Penjaram antara kuih tradisi yang amat diminati dan punya potensi untuk diperkenalkan di peringkat lebih tinggi.
KUIH TRADISI: Kuih Penjaram antara kuih tradisi yang amat diminati dan punya potensi untuk diperkenalkan di peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ziarah ke Program Memasak Panjaram di kediaman Halimah Alang Laut, di Kampung Sri Pandan, Putatan, hari ini. 

Program anjuran jentera Wanita UMNO Bahagian Putatan itu dalam masa yang sama turut mengadakan sesi mengajar memasak dan menyediakan kuih berkenaan. 

Untuk rekod, kuih Panjaram ini terkenal di kalangan masyarakat etnik Bajau Sama di daerah Putatan dan Kota Belud yang menjadi juadah kegemaran setiap kali adanya majlis keramaian.

Advertisement