Anda di sini

Perlu bijak menilai kebenaran berita tular

Advertisement
 Ladin (kiri) menerima bendera pada sambutan Hari Malaysia di Kampung Punang Jaya, Lawas kelmarin.
CINTAKAN NEGARA: Ladin (kiri) menerima bendera pada sambutan Hari Malaysia di Kampung Punang Jaya, Lawas kelmarin.

LAWAS: Masyarakat perlu bijak menilai kebenaran sesuatu berita tular di laman sosial sekali gus tidak mempercayai berita palsu semakin banyak ditular pada masa kini.

Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok berkata penularan berita palsu hanya mencetus panik dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu semakin banyak kes melibatkan netizen di laman sosial diheret ke muka pengadilan kerana menularkan berita palsu dan maklumat tidak sahih terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pastikan maklumat yang ingin dikongsikan benar-benar sahih terlebih dahulu serta daripada sumber betul.  

“Semak dahulu baharu kongsi. Langkah paling selamat dengan melayari media sosial Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) serta laman web sesebuah kementerian atau agensi sekiranya kita tidak pasti kebenaran sesuatu perkara,” katanya pada Program Merdeka @ Komuniti di sini kelmarin.

Turut sama Pegawai Penerangan Daerah Lawas Idris Hassan dan Ketua Kampung Punang Jaya Awangku Adenan Pengiran Tengah.

Ladin berkata, masyarakat juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya bagi membendung kes positif baharu seterusnya memutuskan rantaian COVID-19 di Sarawak.

Katanya, Program Merdeka @ Komuniti merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui JAPEN bagi menyemarak dan menggelorakan semangat patriotisme serta cintakan negara sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

“Hari Malaysia bertemakan Malaysia Prihatin amat bersesuaian dengan situasi negara kita menangani pandemik COVID-19.

Kerajaan amat mementingkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui inisiatif PRIHATIN merangkumi aspek ekonomi, sosial dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia,” jelasnya.

Advertisement