Anda di sini

Masalah sistem perparitan di Skim Penempatan Semula Stampin perlu perhatian, tindakan segera

Advertisement
 Longkang dan parit yang dibersihkan baru-baru ini.
BERSIH: Longkang dan parit yang dibersihkan baru-baru ini.

KUCHING: Masalah sistem perparitan yang bermula dari Lorong 1 sehingga Lorong 47 Skim Penempatan Semula Stampin di sini memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada kerajaan.

Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kota Sentosa Wilfred Yap berkata skim tersebut telah didiami penduduk dari kalangan pengundi Bumiputera (Melayu, Iban) serta Cina tidak kurang daripada 30 tahun lalu.

“Bagaimanapun baru-baru ini, penduduk telah mengadu air dari longkang di Lorong 33 sehingga 35 tidak mengalir dan kami baharu sahaja selesai melakukan kerja pembersihan longkang tersebut.

“Tetapi, perkara ini tidaklah semudah yang disangka. Sebenarnya, Ahli Yang Berhormat Kota Sentosa perlu melihat perkara ini dengan lebih serius lagi dan perparitan di kawasan tersebut memerlukan pelan perancangan yang sangat teliti.

“Beliau perlu mengusulkan perkara ini kepada kerajaan negeri atau persekutuan supaya disediakan peruntukan dan sesuatu dapat dilakukan selepas bertahun lamanya permasalahan itu dihadapi penduduk di sini.

“Mereka memerlukan longkang konkrit bermula dari RPR Stampin ke sungai yang berdekatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Penduduk di skim penempatan terbabit juga telah banyak kali mengadu namun pihaknya tidak mempunyai dana RTP atau MRP untuk membantu mereka, hanya berupaya mendedahkan permasalahan mereka untuk diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

Wilfred sekali lagi menegaskan bahawa wakil yang dipilih oleh rakyat itu perlu melakukan sesuatu mengenainya dan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Sebelum ini, beliau telah banyak kali menyuarakan perkara tersebut namun seperti tidak dipedulikan.

Pihaknya kata beliau, hanya berupaya membantu sedikit di sana dan sini, sekadar yang termampu selepas penduduk mengadu air melimpah keluar dari longkang kerana banjir kilat misalnya.

“Skim ini terletak sangat dekat dengan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan setiap kali musim tengkujuh iaitu hujung tahun pasti kawasan tersebut akan mengalami banjir. Sesuatu perlu dilakukan,” tambahnya.

Beliau sendiri telah pergi ke kawasan skim tersebut pada minggu lepas dan pihaknya telah melakukan pembersihan pada saluran perparitan dan hanya menyedari permasalahan itu hanya dapat dihentikan buat seketika.

Populasi di kawasan itu juga kian meningkat dari hari ke hari walaupun beliau tidak mempunyai statistik sebenar kependudukan di kawasan tersebut.

Beliau juga pernah meminta wakil rakyat yang dipilih daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk berbuat sesuatu tetapi sehingga kini wakil tersebut buat endah tak endah sahaja.

Advertisement