Anda di sini

Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-A2 sasar 2,000 projek

Advertisement
 Presiden Kelab Lion Batu Niah Alice Yong (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Batu Niah,Low Mei Ping (dua kanan) sambil disaksikan Roland (tengah) semalam.
TERIMA KASIH: Presiden Kelab Lion Batu Niah Alice Yong (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Batu Niah,Low Mei Ping (dua kanan) sambil disaksikan Roland (tengah) semalam.

MIRI: Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-A2 menyasar melaksanakan sekurang-kurangnya 2,000 projek perkhidmatan yang dapat menguntungkan seramai 350,000 orang pada tahun ini.

Gabenor Daerahnya Roland Chieng berkata menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan adalah salah satu fokus utama organisasi berkenaan agar dapat memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Melalui penyediaan perkhidmatan kepada masyarakat, ita dapat memupuk keharmonian dan perpaduan antara diri kita dan secara tidak langsung akan membina kemahiran organisasi dan kepimpinan kita.

“Saya gembira kerana setakat kini daerah kita telah melaksanakan sebanyak 700 projek dan memberi manfaat kepada lebih 80,000 orang di komuniti kita.

“Saya berharap Kelab Lions Batu Niah dapat melaksanakan projek perkhidmatan yang lebih bermakna dan melaporkan projek anda itu melalui aplikasi Lions saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Lembaga Pengarah Kelab Lions Batu Niah 2020-2021 di sini malam kelmarin.

Sementara itu, Roland berkata Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-A2 berharap dapat merekrut sekurang-kurangnya 400 anggota baharu di daerah ini pada tahun ini.

“Saya berharap kadar pertumbuhan bersih keanggotaan di daerah kita dapat mencapai lima hingga tujuh peratus iaitu sekitar 130 hingga 160 anggota.

“Sehingga hari ini 120 ahli telah bertambah dalam keluarga daerah 308-A2 pada suku pertama tahun ini. Peningkatan anggota akan meningkatkan kekuatan kita dalam memberi perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan dalam komuniti.

Sementara itu, Roland berkata sehingga kini Kelab Lions Antarabangsa Daerah 308-A2 mengeluarkan geran berjumlah RM20,000 daripada dana yayasan bagi memberi perkhidmatan kepada komuniti.

“Daerah kita mempunyai dana asas besar untuk digunakan bagi projek perkhidmatan dan masih mempunyai kira-kira RM180,000 dana untuk diberikan pada tahun ini.

“Oleh itu, saya mendorong semua kelab menggunakan dana daripada yayasan agar lebih ramai orang mendapat manfaat daripada dana itu,” katanya.

Advertisement