Anda di sini

Jalan Miri Bypass bersebelahan Miri Sentral dikenal pasti depo parkir lori

Advertisement
 Lee (duduk, tengah) bersama yang lain mempengerusikan mesyuarat berhubung masalah parkir lori di Miri petang semalam.
MESYUARAT: Lee (duduk, tengah) bersama yang lain mempengerusikan mesyuarat berhubung masalah parkir lori di Miri petang semalam.

MIRI: Lokasi di Jalan Miri Bypass bersebelahan dengan Miri Sentral dikenal pasti sebagai depo parkir lori bagi mengatasi masalah ketiadaan parkir lori bagi lori komersil termasuk treler dan trak di sini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata terdapat banyak aduan mengenai lori diparkir di jalan-jalan utama atau di kawasan komersil sehingga membahayakan lalu lintas.

“Kita menerima aduan iaitu lori diletakkan di kawasan perumahan dan tempat-tempat komersil serta di tepi-tepi jalan, turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat mengenai masalah itu bersama kementeriannya, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Persatuan Pemilik Lori Miri serta wakil-wakil berkaitan di sini petang semalam.

Bagi mengatasi masalah itu, Lee berkata kementeriannya mencadangkan MBM menyelesaikan masalah terbabit dengan melakukan tindakan susulan berhubung perkara itu dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Tapak yang dicadangkan untuk depo parkir lori itu ialah di lot 7131 dengan keluasan 6.42 hektar yang kini kosong.

“Menurut Jabatan Tanah dan Survei, kawasan berkenaan telah diluluskan untuk parkir lori dan MBM turut mengemukakan cadangan tersebut berikutan tempoh sahnya tamat.

“Cadangan tersebut sekarang dirujuk oleh Jabatan Tanah dan Survei Miri ke jabatan pusat di Kuching,” katanya.

Lee menjelaskan, kementeriannya turut membantu bagi tindakan susulan berhubung status terbabit dengan Jabatan Tanah dan Survei.

“Pada masa sama, saya minta MBM menyusun rancangan terperinci dengan kos dan tempoh masa bagi depo parkir lori tersebut. Tapak dicadangkan terbabit dapat memuatkan sekurang-kurangnya 200 buah lori.

“Selain itu, MBM turut boleh melihat projek ini dari segi perniagaan dengan mengenakan bayaran kepada syarikat lori parkir untuk tempoh lebih lama dengan dijamin kawasan itu berpagar dan dijaga pengawal keselamatan,” jelasnya.

“Dengan adanya parkir ini nanti, pengusaha lori dan kenderaan berat terbabit mempunyai ruang meletakkan lori mereka di kawasan selamat dan dijaga.

“Lori serta kenderaan berat lain tidak meletakkan kenderaan terbabit di tepi jalan atau kawasan perumahan pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan (MoT) Buckland Bangik, Setiausaha MBM Morshidi Fredrick, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf serta wakil yang lain.

Advertisement