Anda di sini

Francs yakin pada pemerkasaan wanita

Advertisement
Francisca melambai sewaktu tiba pada majlis tersebut, semalam. - Gambar Roystein Emmor.
Francisca melambai sewaktu tiba pada majlis tersebut, semalam. - Gambar Roystein Emmor.

KUCHING: Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong James, 25, mahu dirinya menjadi contoh permulaan kepada pemerkasaan lebih ramai gadis muda Sarawak yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

Lebih mesra dengan panggilan Francs, wanita Orang Ulu dan Dayak pertama dari Sarawak yang dinobatkan dengan gelaran itu berkata, beliau percaya setiap wanita mempunyai bakat mereka tersendiri.

Bakat tersendiri ini katanya, membolehkan keperibadian mereka terserlah dan sudah cukup mnyakinkan untuk mencapai apa yang dihajati mereka.

“Saya percaya kepada pemerkasaan wanita milenial untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan walaupun ada kedengaran bahawa ia tidak begitu relevan, tetapi saya berasakan kepimpinan wanita amatlah relevan hari ini,” katanya pada sidang media ‘Homecoming 2020 Miss Universe, Francisca Luhong James’ semalam.

Menyentuh mengenai kemenangan beliau pada acara Miss Universe Malaysia 2020 anjuran Miss Universe Malaysia Organization (MUMO), Francs menganggapnya sebagai satu tanggungjawab besar.

Beliau yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik (dua adik lelaki kembar) mahu menjadi duta yang menyerlahkan kepelbagaian dan keunikan budaya Sarawak dan Malaysia ke mata dunia.

“Saya mencuba nasib menyertai Miss Harvest Festival kelolaan Kampung Budaya semasa ketika berumur 19 tahun.

Sebenarnya takut ketika berada di atas pentas, tetapi saya gigih berusaha untuk mencapai ke tahap ini dan sokongan banyak saya dapat daripada ibu (Pauline Japok),” tambahnya.

Francs, yang bekerja dalam bidang perhubungan awam dan pemasaran di Kuala Lumpur, mahu selepas beliau lebih ramai gadis Sarawak mencuba untuk berjinak-jinak dalam pertandingan ratu cantik.

Perancangan masa depannya adalah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana hasil daripada tajaan biasiswa Help University yang dimenanginya baru-baru ini.

Sementara itu pada sidang yang sama, Pengarah MUMO Datin Elaine Daly berkata beliau yakin Francs, gadis berdarah kacukan (Orang Ulu-Iban), mampu menjalani latihan selama enam bulan untuk ke peringkat seterusnya.

“Penampilan Francs cantik dari dalam dan luar dan ia amat luar biasa,” katanya.

Francs, anak kelahiran Kuching, memenangi pertandingan yang dihakimi pelakon-pengarah-penerbit Datuk Hans Isaac, pemenang Miss Universe Malaysia 2011 Deborah Henry dan pereka fesyen Carven Ong pada Malam Gala Miss Universe Malaysia (e-Gala) 2020, 5 September lalu.

Beliau dipakaikan mahkota permata bernilai RM2.3 juta oleh Shweta Sekhon yang merupakan Miss Universe Malaysia 2019.

Kali terakhir acara ini dimenangi anak Bumi Kenyalang pada 2007 menerusi Adelaine Chin Ai Nee.
 

  • oleh
  • Advertisement