Anda di sini

UPKO sedia bantu WARISAN tawan Pantai Dalit

Advertisement
 Madius (tengah) bersama Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Tuaran Chrisnadia Siman (dua kanan) menyatakan sokongan kepada Rakam (kiri).
SOKONGAN: Madius (tengah) bersama Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Tuaran Chrisnadia Siman (dua kanan) menyatakan sokongan kepada Rakam (kiri).

TUARAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bahagian Pantai Dalit sudah dipersiapkan untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera untuk memastikan kemenangan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, seramai 2,751 ahli UPKO di Pantai Dalit akan keluar mengundi calon daripada WARISAN Plus.

“Saya selaku Ahli Parlimen Tuaran dan juga peneraju pimpinan untuk WARISAN Plus di kawasan ini bertanggungjawab memastikan kemenangan keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

“Kita ingin membentuk Kerajaan Negeri dan meneruskan usaha yang sudah dirancang untuk pembangunan dan keharmonian rakyat Sabah,” katanya.
 
Madius berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya WARISAN Plus bagi kawasan Pantai Dalit di rumah calonnya Rakam Sijim di sini, pada Rabu lalu.

“Kita harus jelas dalam perjuangan dan matlamat kita…supaya kita fokus memastikan kemenangan berpihak kepada kita. Saya mahu kekuatan emosi dan fizikal semua ahli jentera berada di tahap yang memuaskan,” katanya.

Menurutnya, rakyat menjadi penentu kerajaan yang memimpin, namun persoalannya adalah, adakah rakyat mahu memilih parti tempatan atau parti yang didominasi parti dari Semenanjung?.

“Pada Selasa lalu, Azmin Ali dalam ucapannya menyatakan beliau mahu menyelamatkan Sabah. Saya ingin bertanya kepadanya, selamatkan Sabah daripada apa? Mengatur kerusi di parti sendiri pun susah, apa lagi mahu menyelamatkan negeri ini,” soalnya.

Kawasan Pantai Dalit menyaksikan pertandingan lapan penjuru membabitkan calon Parti WARISAN Rakan Sijim diikuti calon Barisan Nasional (BN) Jasnih Dayah, calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Awil Kamsari, calon Parti Cinta Sabah (PCS) Mohd Amirul Amin, calon Parti Liberal Demokrasi (LDP) Rusdi Saelih, calon Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Matbee@ Matbeh Ismail dan dua calon bebas Johan Jahid dan Peter Pikul.

Advertisement