Anda di sini

Suara rakyat mahukan perubahan, kata Madius

Advertisement
 Madius (depan tengah) bersama jentera UPKO Sulaman mengambil gambar kenangan.
GAMBAR KENANGAN: Madius (depan tengah) bersama jentera UPKO Sulaman mengambil gambar kenangan.

TUARAN: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyatakan, suara rakyat negeri ini lantang dan jelas bahawa inginkan perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 lalu dan perubahan itu direalisasikan melalui amalan demokrasi pilihan raya.

“Kita mendengar dan merasai denyutan nadi rakyat yang mahu perubahan. Kita buat keputusan memberikan tawaran kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN), tiada perundingan atau perjanjian dibuat yang ada, cuma persetujuan untuk membentuk kerajaan,” katanya.

 Beliau menjelaskan semasa proses pembentukan kerajaan Sabah yang tergantung kerana terikat 29-29 antara Barisan Nasional (BN) dan WARISAN.

“Orang Sabah katakan ‘pukas’ keadaan tergantung dan kita tidak mempunyai kerajaan. UPKO menganalisa keputusan pilihan raya. Mengapa rakyat Sabah menolak BN?

“Pada waktu itu, kita sedar majoriti rakyat negeri ini sudah mengundi pembangkang. Maksudnya rakyat inginkan perubahan dan kami menilai semula kedudukan UPKO dalam komponen BN,” katanya.

Beliau melanjutkan, akhirnya perbincangan dengan Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk bekerjsama dengan WARISAN dan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

“Kita mahukan parti yang berjuang demi hak-hak Sabah selari dengan perjuangan UPKO,” katanya.

Dalam pada itu, Madius turut menyelar tindakan parti lawan yang meniupkan isu bahawa tindakan beliau bergabung dengan parti WARISAN sebagai ‘katak’.

“Saya bukan pengkhianat, apa yang saya lakukan adalah untuk mendengar suara  rakyat yang mahukan perubahan. Jadi apakah UMNO-BN dan sekutunya mengatakan rakyat Sabah yang pengkhianat? Rakyat sudah membuat keputusan mahukan perubahan.

“Saya masih memimpin UPKO. Apa yang saya lakukan cuma bekerja sama dengan WARISAN dan PH untuk membentuk kerjaan selepas PRU ke-14,” katanya.

Sementara itu, seramai 1,800 ahli UPKO memberikan sokongan kepada calon parti WARISAN di kawasan Sulaman Datuk Aliasgar Basri.

 

Advertisement