Anda di sini

Sally cetus banjir teruk di tenggara AS

Advertisement
 Kenderaan meredah jalan raya yang ditenggelami banjir selepas Taufan Sally membadai kawasan tersebut di Pensacola, Florida kelmarin. — Gambar AFP
BANJIR TERUK: Kenderaan meredah jalan raya yang ditenggelami banjir selepas Taufan Sally membadai kawasan tersebut di Pensacola, Florida kelmarin. — Gambar AFP

PENSACOLA: Taufan Tropika Sally menumbangkan pokok, membanjiri jalan dan rumah serta memutuskan bekalan elektrik, dan dilaporkan membunuh seorang individu, apabila taufan yang sebelum ini berbentuk hurikan membadai tenggara Amerika Syarikat (AS) kelmarin dengan hujan lebat.

Sally melanda daratan pada waktu malam berhampiran Teluk Shores, Alabama, di sepanjang sempadan dengan Florida sebagai hurikan Kategori 2.

Sally yang bergerak perlahan, dan seterusnya diturun taraf kepada taufan tropika, kemudian berlegar-legar di ruang udara beberapa bahagian selatan Alabama dan kawasan Florida Panhandle di mana ia menyebabkan banjir teruk dengan jumlah hujan yang banyak sekali, kata Pusat Hurikan Negara (NHC).

“Banjir yang membawa bencana dan mengancam nyawa terus berlaku di beberapa bahagian di kawasan Florida Panhandle dan se-latan Alabama,” kata NHC.

Media AS melaporkan satu kematian di bandar pesisir pantai Orange Beach, Alabama, tetapi Datuk Bandar Tony Kennon berkata beliau tidak ada maklumat lanjut, menurut laman berita AL.com.

Beberapa banjir paling teruk yang dilaporkan berlaku kira-kira 50 kilometer ke timur bandar raya Pensacola, Florida, yang mempunyai populasi sekitar 52,000 orang.

Jalan di tengah bandar menyerupai tasik dengan kereta yang ditenggelami air hingga ke paras tayar dan ribut yang meniup ombak.

“Jalan raya dan persimpa-ngan jalan yang ditenggelami air, selain puing bahaya di lokasi jalan raya telah menjadi terlalu banyak untuk disenaraikan,” ciap polis Pensacola. “Tolong elak jalan raya sekarang.”

Penduduk barat laut Flo-rida menjangkakan hujan dan ribut, tetapi amnya tidak bersedia apabila Sally melencong ke timur dan terus melanda bahagian tersebut.

Orang tidak ada masa untuk mengumpul makanan atau air minuman, apatah lagi menutup tingkap atau meletakkan beg pasir di depan pintu.

Penduduk Pensacola, Jeff Gardner, berkata keluarga-nya “terkejut apabila kami mendapati diri di dalam hurikan”.

“Anda hanya duduk di sana sambil tertanya-tanya sama ada rumah anda akan mula dirobek,” kata lelaki berusia 47 tahun itu kepada AFP.

Walaupun rumahnya tidak musnah, beliau berkata “ri-but sentiasa bertiup sepanjang malam”.

Jambatan baharu Three Mile Bridge yang merentasi Teluk Pensacola mengalami kerosakan teruk dengan satu bahagian yang hilang, dan terpaksa ditutup.

Pada jam 8 malam (waktu tempatan), Sally membawa ribut maksimum 75 kilo-meter sejam, kata NHC, yang memberi amaran “beberapa puting beliung” boleh berlaku di beberapa bahagian di utara Florida dan selatan Georgia.

Sally sedang bergerak perlahan-lahan menuju ke bahagian timur laut pada kelajuan tujuh batu sejam (bsj), kata NHC.

Taufan itu dijangka reda apabila yang bergerak lebih jauh ke kawasan pedalaman dan menjadi hujan tropika pada malam kelmarin se-hingga semalam.

Lebih 515,000 rumah dan premis perniagaan di Alabama dan Florida sudah terputus bekalan elektrik, menurut laman pemantauan poweroutage.us.

NHC berkata Sally melanda Teluk Shores, kira-kira 35 batu ke barat Pensacola, dengan ribut kira-kira selaju 105 bsj.

Gabenor Alabama, Kay Ivey, yang mengisytiharkan keadaan darurat pada Isnin lepas sebelum ketibaan taufan itu, memberi amaran kepada penduduk bahawa ia mungkin memakan masa untuk pulih semula.

“Hurikan Sally adalah taufan yang bergerak perlahan, yang hanya memburukkan lagi beberapa kelewatan semula jadi untuk memulihkan tenaga, air dan khidmat perlu lain,” kata Ivey.

Gabenor Ron DeSantis turut mengisytiharkan ke-adaan darurat bagi daerah di bahagian barat laut Florida. Negeri itu mengaktifkan ratusan pengawal negara dan pasukan penyelamat sebelum taufan melanda.

Taufan tropika terlampau banyak di Lautan Atlantik pada tahun ini sehingga Pertubuhan Meteorologi Dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang memberi nama kepada taufan, hampir kehabisan nama buat kali kedua dalam sejarah. — AFP

Advertisement