Anda di sini

RM3.5 juta untuk pembangunan pusat pendidikan teologi di BTS

Advertisement
 Madius (kanan) menyerahkan replika cek daripada kerajaan negeri sebagai simbolik penyerahan dana berkenaan kepada Jerry (dua kanan).
BANTUAN: Madius (kanan) menyerahkan replika cek daripada kerajaan negeri sebagai simbolik penyerahan dana berkenaan kepada Jerry (dua kanan).

RANAU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM3.5 juta untuk pembinaan blok bangunan tambahan di Borneo Theological Seminary (BTS) Namaus dekat sini.

Bangunan tambahan berkenaan bagi menampung keperluan di BTS yang menyediakan pendidikan bidang teologi untuk masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata,  peruntukan berkenaan sudah diluluskan sejak 7 Julai lepas dan pihak BTS akan menerima dana berkenaan pada 19 September 2020.

Menurutnya, gereja Sidang Injil Borneo (SIB) memohon peruntukan untuk pembinaan bangunan di BTS yang juga dikenali sebagai Kolej Teologi Sabah yang bersekutu dengan SIB.

"Walaupun sudah diluluskan lebih awal, namun dana berkenaan belum dimasukkan ke dalam akaun penerima berikutan kesibukan pengurusan Kementerian Kewangan.

"Sehubungan itu, saya dimaklumkan pihak BTS akan menerima peruntukan ini pada 19 September dan hari ini saya datang untuk menyampaikan surat kelulusan dari pihak kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin di sini semalam.

Madius berkata, rancangan untuk pembinaan blok bangunan itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak BTS untuk melaksanakannya.

Menurutnya, pihak BTS dan SIB mempunyai pelan sendiri untuk membina blok bangunan tambahan berkenaan yang akan dijadikan sebagai salah satu pusat pembelajaran di BTS.

Selain itu katanya, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dijangka menyampaikan simbolik penyerahan peruntukan berkenaan memandangkan ia melibatkan jumlah peruntukan yang agak besar.

Dalam pada itu, semasa sesi soal jawab turut dicadangkan agar kerajaan negeri menyediakan bantuan biasiswa kepada pelajar bukan Islam yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang keagamaan seperti teologi.

Beliau akan mengambil perhatian berhubung cadangan berkenaan agar biasiswa melanjutkan pengajian dalam bidang teologi turut diberikan kepada penuntut bidang berkenaan di negeri ini.

"Ini adalah perkara baharu dan tidak pernah dibuat sebelum ini. Tidak ada lagi contoh pelajar yang mengambil bidang teologi menerima biasiswa kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, ini satu cadangan yang sangat baik dan saya juga merancang untuk memberikan cadangan secara bertulis kepada Ketua Menteri berhubung perkara ini," jelasnya.

Turut hadir, Presiden SIB Sabah Datuk Jerry Dusin.

  • oleh
  • Advertisement