Anda di sini

Pilih calon yang seiring dengan kerajaan persekutuan

Advertisement
 Arifin ketika menyampaikan ucapan pada majlis ramah mesra bersama calon di Pimping pada Khamis.
AMANAT: Arifin ketika menyampaikan ucapan pada majlis ramah mesra bersama calon di Pimping pada Khamis.

MEMBAKUT : Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut, Datuk Arifin Arif berharap para pengundi akan memberi kepercayaan kepada beliau untuk meneruskan agenda pembangunan untuk kawasan itu.

Selain pembangunan fizikal, beliau turut meletakkan fokus terhadap pembangunan modal insan dengan memperkasakan pendidikan selari dengan ilham beliau iaitu, 'Membangun Dengan Ilmu'.

Jelas beliau, bagi memastikan pendidikan dapat diperkasakan, kerajaan negeri harus seiring dengan kerajaan di peringkat persekutuan bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Justeru beliau meminta para pengundi supaya tidak mudah terpedaya dengan 'pujukan' parti lain kerana kata Arifin ianya hanya akan merugikan pengundi serta membantutkan usaha membangunkan negeri dalam semua aspek.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Ramah Mesra Jentera PN & Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pimping.

Turut hadir bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Matbali Musah.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin turut mengingatkan jentera supaya berkempen dengan berhemah bagi memberi keyakinan kepada pengundi khususnya dalam DUN Membakut untuk memilih calon yang seiring dengan kerajaan persekutuan.

Selain itu, beliau turut berpesan supaya jentera mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang berkempen bagi menjamin kesejahteraan semua pihak yang terlibat.

Justeru beliau berharap para pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 26 September nanti bagi memilih calon pilihan seterusnya membentuk kerajaan negeri yang benar-benar boleh berkhidmat kepada seluruh lapisan rakyat di negeri ini.

  • oleh
  • Advertisement