Anda di sini

Perkasa kerjasama erat Warisan Plus

Advertisement
 Shafie (dua kiri) kelihatan berbincang dengan Wan Azizah (dua kanan), turut kelihatan ialah Lim (kiri) dan Christina (kanan).
BERBINCANG: Shafie (dua kiri) kelihatan berbincang dengan Wan Azizah (dua kanan), turut kelihatan ialah Lim (kiri) dan Christina (kanan).

 

KOTA KINABALU: Kerjasama erat di antara parti dalam Warisan Plus perlu terus diperkasakan bagi memastikan kemenangan mutlak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September nanti.

Pengerusi PKR Sabah dan juga Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api Datuk Christina Liew optimistik bahawa Warisan Plus mampu untuk sekali lagi menang.

"Kini kita telah kembalikan mandat kepada rakyat, kerjasama PKR, Warisan, DAP, UPKO dan AMANAH amat penting dan menjadi harapan kepada rakyat Sabah.

"Kita tidak mampu bersendirian dan perlu meneruskan kerjasama strategik untuk memastikan kemenangan bersama," katanya dalam Program Malam Bersama Calon-Calon Warisan Plus Kota Kinabalu, di sini kelmarin.

Beliau berkata, berikan sokongan padu kepada calon-calon Warisan Plus yang akan bertanding kali ini.

"Kekuatan datang dari rakyat, oleh sebab itu saya yakin jika kita terus kekal berjuang demi rakyat, kita akan dapat mengharungi apa jua cabaran yang dilontarkan kepada kita kerana rakyat akan kekal bersama-sama kita," katanya.

 

Menurutnya, 26 September depan adalah hari keluar mengundi. PRN kali ini berbeza dengan pilihan raya sebelum ini.

"Harapan saya agar penularan COVID-19 akan berakhir dan semoga cuaca pada hari mengundi adalah baik," katanya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Penasihat PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Calon Warisan Plus DUN Tanjung Aru Datuk Junz Wong, Calon DAP-Warisan Plus DUN Luyang Phoong Jin Zhe dan Calon DAP-Warisan Plus DUN Likas Tan Lee Fatt.


 

  • oleh
  • Advertisement