Anda di sini

Perdana Menteri lancarkan Gerbang Sabah, ke arah memantapkan infra digital

Advertisement
 Muhyiddin menurunkan tandatangan digital sebagai simbolik pelancaran Gerbang Sabah.
JENDELA: Muhyiddin menurunkan tandatangan digital sebagai simbolik pelancaran Gerbang Sabah.

KOTA KINABALU: Pelancaran stesen pendaratan kabel gentian optik dasar laut di Tanjung Aru, iaitu Gerbang Sabah mengukuhkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi memajukan kemudahan jalur lebar di negeri ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Gerbang Sabah komponen penting Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam rangka memantapkan infrastruktur digital negara.

“Gerbang Sabah adalah titik sambungan internet antara Sabah dan seluruh dunia yang saya percaya akan merancakkan lagi pembangunan dan kemajuan di negeri ini,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian semasa berucap sempena pelancaran Gerbang Sabah, di sini, semalam, yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Hadir sama, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM) Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Perdana Menteri berkata kerajaan melakukan kajian semula penyediaan perkhidmatan internet jalur lebar yang lebih menyeluruh dan pantas untuk manfaat setiap rakyat.

“Kerja-kerja inisiatif JENDELA sudah dimulakan dan dijangka menjelang 2022 sebanyak 96.9 peratus kawasan berpenduduk akan diliputi perkhidmatan 4G sebelum ke 5G.

“Sabah penerima terbesar projek pembangunan JENDELA dan akan menerima 419 menara baharu, dan status 1, 972 pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G.

“Liputan talian tetap gentian optik akan diperluaskan kepada 251, 166 premis di seluruh Sabah dengan kos keseluruhan inisiatif JENDELA dianggarkan bernilai RM2.45 bilion.

“Demi memastikan kualiti sambungan jalur lebar nasional terus dipertingkatkan dan merapatkan jurang digital dalam negara, kapasiti Sistem Kabel Rakyat Malaysia (SKRM) di Tanjung Aru ditingkatkan dari 4 terabit sesaat (Tbps) kepada 7.3 Tbps,” katanya.

Menurutnya, kapasiti SKRM itu akan ditingkatkan tiga kali ganda sehingga mencapai keupayaan sekurang-kurangnya 12.8Tbps dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata inisiatif melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta ke atas pelaburan RM575.5 juta oleh SKMM (RM383.7 juta) dan TM (RM191.8 juta).

Berdasarkan kenyataan media SKMM, pembangunan JENDELA akan menyaksikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang agresif, terutamanya di 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang paling ketinggalan.

Pada masa sama, SKMM akan menyusun semula peranan 133 Pusat Internet Komuniti (PIK) untuk membangunkan kemahiran penggunaan internet dan penglibatan e-dagang.

  • oleh
  • Advertisement