Anda di sini

Peragut bersembunyi di hotel mewah

Advertisement
 Merbin bersama pegawainya menunjukkan barang-barang yang dirampas daripada suspek.
Merbin bersama pegawainya menunjukkan barang-barang yang dirampas daripada suspek.

KUCHING: Peragut tegar disyaki terlibat sekurang-kurangnya empat kes ragut sejak Julai berjaya diberkas ketika menginap di sebuah hotel mewah di pusat bandaraya ini pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditangkap anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah diketuai Inspektor Muhamad Rizal yang melakukan serbuan sekitar jam 11.10 malam.

Menurutnya, suspek menginap di hotel tersebut untuk mengelak daripada dikesan polis selepas kali terakhir disyaki melakukan jenayah ragut pada pada 16 September di Jalan Carpenter.

"Siasatan awal mendapati suspek baharu sahaja dibebaskan dari penjara pada Mac selepas dihukum kerana meragut, namun dia tidak pernah serik apabila disyaki melakukan lagi jenayah tersebut secara solo bermula Julai.

"Dengan tertangkapnya suspek, kita percaya telah menyelesaikan sekurang-kurang empat kes ragut yang dilaporkan berlaku di sekitar Kuching sejak bulan tersebut (Julai)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Merbin selain itu memberitahu pihaknya turut merampas pelbagai barang kes termasuk sebuah kereta, dua buah motosikal dan wang tunai.

"Terdapat juga pakaian milik suspek serta topi keledar yang digunakannya semasa melakukan jenayah ragut turut dirampas untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Suspek bersama barang-barang kes kemudian di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Suspek kini masih ditahan reman dan polis sedang mengenalpasti rakan sejenayah suspek.

Sementara itu, semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan harta benda dan dadah.

"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Advertisement