Anda di sini

Penambahbaikan SFMLA dijangka siap tahun ini

Advertisement
 Mashor memberikan penjelasan dalam sidang media di sini semalam.
PENJELASAN: Mashor memberikan penjelasan dalam sidang media di sini semalam.

KOTA KINABALU: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) sedang dalam proses menambahbaik Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) yang dijangka akan siap pada tahun ini.

Ketua Konservator Hutan, JPS, Datuk Mashor Jaini berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Hasil Bumi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini semalam (17 September).

Beliau berkata bahawa sudah tiba masanya untuk penambahbaikan berkenaan kerana dari masa ke masa, terdapat beberapa perubahan melibatkan teknologi serta persepsi dan harapan masyarakat.

Mashor berkata SFMLA adalah lesen jangka panjang yang menggunakan templat dari negara Jerman bermula tahun 1997 dan ia mempunyai sedikit kelemahan yang perlu penambahbaikan.

"Saya rasa kita harus melakukan penambahbaikan untuk kebaikan negara, rakyat. Itu penting. Oleh itu, kami sedang dalam proses untuk menyemak, memperbaiki dan mengukuhkan perjanjian lesen ini. Semoga kita dapat menyelesaikannya pada tahun ini atau selewat-lewatnya pada tahun depan," jelasnya.

Menurutnya lagi, masalah yang terdapat pada lesen pada masa ini ialah ia tidak mempunyai klausa penamatan perjanjian (exit clause) yang jelas dan sebarang perubahan perlu ada persetujuan daripada kedua-dua pihak iaitu pihak syarikat dan kerajaan.

"Kita dalam proses mengkaji semula perjanjian berkenaan. Sebagai contoh untuk menambah 'exit clause' dengan tujuan menilai prestasi pemegang lesen. (Kemudian) Hanya mereka yang berjaya boleh dipanjangkan tempoh lesen sehingga 100 tahun," jelasnya.

Beliau berkata setakat ini, empat lesen telah ditamatkan dan menjadikan jumlah lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat konsesi Unit Pengurusan Hutan (FMU) semenjak tahun 1997 sehingga 2018 adalah sebanyak 33 lesen dengan tempoh sah laku antara 30 tahun sehingga 100 tahun.

Menurut Mashor, keluasan yang terkomited dengan lesen ini secara kasarnya adalah sebanyak 1.73 juta hektar yang melibatkan hutan simpan kelas kedua.

Katanya lagi, tiada pemberian lesen yang baharu diberikan semenjak Mei 2018 kecuali kepada Yayasan Sabah.

Mashor berkata JPS yang masih dalam penilaian secara menyeluruh terhadap pemegang lesen berkenaan, perlu berhati-hati sebelum menamatkan mana-mana lesen untuk mengelakkan kes mahkamah yang akan mengakibatkan kos kepada kerajaan negeri.

Oleh itu, pihak beliau perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negeri berkaitan perkara ini sebelum mengambil tindakan penamatan lesen berkenaan.

Mashor juga menjelaskan bahawa perhutanan adalah mengenai komitmen dan pelaburan jangka panjang yang berisiko tinggi.

Maka beliau berkata untuk menilai kejayaan sesuatu syarikat konsesi FMU sebagai berjaya memerlukan masa yang lebih lama dan setakat ini kira-kira 75 peratus daripada pemegang lesen berkenaan berjaya memenuhi standard yang minimum.

Apabila ditanya mengenai kebaikan konsep FMU, Mashor berkata ia adalah sebuah konsep yang baik tetapi memerlukan penambahbaikan (dari segi perjanjian lesen).

Jelasnya, FMU bukanlah pembalakan semata-mata kerana syarikat konsesi FMU perlu berkongsi beban menjaga kawasan hutan yang terlibat dengan bimbingan daripada kerajaan negeri menerusi jabatan-jabatan yang ada.

Katanya syarikat-syarikat yang dianugerahi konsesi FMU, setelah melakukan pembalakan mereka wajib memulihkan kawasan berkenaan iaitu termasuk menanam pokok serta merawat kawasan yang terbabit supaya pokok-pokok berkenaan dapat digunakan oleh generasi masa hadapan.

"Sepatutnya syarikat yang dianugerahkan (FMU) harus komited tetapi beberapa syarikat tidak mempunyai latar belakang perniagaan perhutanan dan itulah masalahnya.

"Idealnya, syarikat yang dianugerahkan harus mempunyai modal yang kuat sehingga mereka tidak bergantung pada penuaian pokok untuk aktiviti pemulihan," jelasnya dan menambah bahawa hampir semua syarikat konsesi FMU bergantung pada pembalakan sebelum mereka dapat memulakan Kerja pemulihan.

 

  • oleh
  • Advertisement