Anda di sini

PDRM Bintulu ungguli Kejohanan Petanque Triple Mix MAKSAK

Advertisement
 Pasukan-pasukan yang bertanding bergambar kenangan bersama pihak penganjur dan tetamu yang hadir.
UNTUK ALBUM: Pasukan-pasukan yang bertanding bergambar kenangan bersama pihak penganjur dan tetamu yang hadir.

BINTULU: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu meraih kejuaraan Kejohanan Petanque Triple Mix Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota Kerajaan (MAKSAK) (Tertutup dan Jemputan) Antara Jabatan dan Agensi Kerajaan Bahagian Bintulu 2020 sempena Hari Malaysia 2020 di Arena Petanque MAKSAK Bintulu kelmarin.

Naib juara disandang Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Plus dan kedudukan ketiga pula menjadi milik Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) 2.

Kejohanan itu menyaksikan juara membawa pulang hadiah wang tunai RM300, naib juara menerima RM200 dan ketiga menerima RM100 yang disampaikan oleh Setiausaha MAKSAK Bahagian Bintulu, Harun Hatta yang mewakili pengerusinya.

Hadir sama dalam kejohanan anjuran bersama Jawatankuasa Rekreasi dan Sosial (JARES) Bahagian Bintulu itu ialah Setiausaha Persatuan Petanque Sarawak (PEPSAR) Janudin Abdul Rahman dan Timbalan Pegawai Pendidikan Sebauh/Tatau Ismawi Bujang.

Sebanyak 10 agensi kerajaan dan enam kelab petanque di Bintulu menyertai kejohanan itu terdiri daripada PDRM, INSIDER 1, INSIDER 2, INSIDER 3, Pentadbiran Bahagian Bintulu 1, LPB Plus, PSKPP 1, PSKPP 2, LANDAS, Al Hijrah 1, Al Hijrah 2, JKRS(Pejabat Daerah) 1, JKRS(Pejabat Daerah) 2, Qubongman, Kasturi Jabatan Perbendaharaan Negeri Bintulu dan Pentadbiran Bahagian Bintulu 2.

Harun berkata, penganjuran kejohanan itu adalah untuk memupuk semangat kesukanan antara jabatan, agensi kerajaan serta kelab-kelab petanque Bintulu.

"Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pegawai-pegawai atau peserta setelah beberapa bulan pertandingan peringkat tempatan tidak dibenarkan demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mencegah pandemik COVID-19," ujarnya.

Beliau berkata, pertandingan itu juga untuk menggalakkan para pegawai kerajaan serta peserta mengamalkan hidup sihat melalui penglibatan dalam acara sukan sempena sambutan Hari Malaysia 2020.

Advertisement