Anda di sini

Nippon Paint lancar VirusGuard, 99% efektif menentang koronavirus manusia

Advertisement

SHAH ALAM: Dalam usaha memerangi wabak COVID-19, masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa memainkan peranan penting sebagai petugas barisan hadapan sekali gus terus mengamalkan norma baharu untuk membendung wabak COVID-19 dan virus yang lain daripada terus merebak.

Setiap masyarakat mempunyai peranannya sendiri dan antara langkah atau tindakan yang perlu diambil ialah mengamalkan garis panduan yang ditetapkan seperti menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) lain.

Pada masa yang sama, menjaga kebersihan telah menjadi norma baharu yang penting dalam kehidupan seharian. Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga kebersihan kendiri, ruang rumah, peralatan elektronik, kereta dan tempat kerja.

Namun begitu, ramai yang tidak peka dengan persekitaran yang terbesar seperti dinding di sekitar mereka.

Tahukah anda, kita sebenarnya kerap menyentuh atau bersandar di dinding tanpa sedar ketika melakukan tugas harian sekali gus menjadikan dinding sebagai tempat utama penyebaran virus dan bakteria.

Sehubungan itu, Nippon Paint (M) Sdn Bhd (Nippon Paint) telah melancarkan cat antivirus dan antibakteria Nippon Paint VirusGuard yang memiliki ciri-ciri tambahan yang baharu serta telah diuji di makmal dan didapati 99% berkesan melawan koronavirus manusia (strain 229E).

Pengarah Urusan Kumpulan Nippon Paint Malaysia Yaw Seng Heng berkata, Nippon Paint VirusGuard adalah sebahagian daripada usaha ber-terusan pihaknya untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan para pengguna di Malaysia.

“Pelancaran inovasi cat yang baharu dan dipertingkatkan ini adalah tepat pada masanya ketika rakyat Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan norma baharu dan mengambil langkah berjaga-jaga di rumah dan di tempat kerja demi keselamatan semua.

“Cat Nippon Paint VirusGuard menggunakan Teknologi Ion Perak yang terbukti berkesan untuk mengurangkan pembiakan virus dan bakteria seperti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), influenza A (H1N1), Escherichia coli dan Staphylococcus aureus, serta koronavirus manusia (strain 229E), apabila bersentuh dengan lapisan cat.

“Strain 229E adalah virus koronavirus yang menyebabkan COVID-19. Sekiranya Teknologi Ion Perak berfungsi dengan 229E, ia juga mungkin berfungsi sama pada COVID-19 juga.

“Pada masa sama, ini juga merupakan usaha tanggungjawab kami bagi membantu dalam membasmi penularan wabak COVID-19 sekali gus memberi maklumat dan panduan yang betul pada orang ramai untuk meningkatkan tahap kebersihan rumah, pejabat, kilang atau premis perniagaan masing-masing,” katanya pada majlis pelancaran Nippon Paint VirusGuard di Ibu Pejabat Nippon Paint, Shah Alam baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar Pemasaran Nippon Paint Malaysia Datin Wong Meng Lee dan Profesor Madya dan Ahli Virologi di Jabatan Mikrobiologi Perubatan (Fakulti Perubatan) Universiti Malaya Dr Chang Li-Yen.

Menurut Datin Wong Meng Lee, sebagai peneraju pasaran dalam penyelesaian cat yang menyeluruh, Nippon Paint merupakan peneraju inovasi dan komited untuk terus mencari peluang, teknologi baharu dan penyelesaian yang inovatif bagi pelanggan dan pemegang taruh mereka.

“Dengan memanfaatkan ciri antivirus dan antibakteria Tek-nologi Ion Perak, kami berhasrat untuk mewujudkan dan memastikan rumah, tempat kerja dan ruang awam sentiasa selamat dan kondusif, terutamanya dalam menghadapi pandemik ini selain mengikuti langkah-langkah pencegahan yang lain.

“Nippon Paint VirusGuard yang dibangunkan dengan Tek-nologi Ion Perak adalah yang pertama seumpamanya yang mempunyai salutan antivirus dan antibakteria bagi mencegah pertumbuhan virus serta bakteria di atas permukaan yang dicat dan ia terbukti secara saintifik,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr Li-Yen Chang berkata, Nippon Paint VirusGuard boleh membantu mengurangkan penyebaran virus dan bakteria yang lain.

“Kesan COVID-19 akan kekal dalam tempoh beberapa tahun yang lagi dan pada masa sekarang kita masih lagi tidak menemui vaksin untuk mengubati wabak ini, oleh itu amatlah penting agar orang ramai sentiasa menjaga kebersihan dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan.

“Walaupun Malaysia mempunyai rekod prestasi yang baik dalam menguruskan kes COVID-19, namun norma baharu perlu diamalkan dengan teliti.

“Sambil kita meneruskan kehidupan harian, baik di tempat kerja atau di kediaman ma-sing-masing, kita perlu terus mengamalkan dan melaksanakan tindakan-tindakan asas bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit,” jelas beliau.

 Teknologi Ion Perak terbukti secara saintifik dapat menghapuskan virus dan bakteria dalam tiga langkah.
TERBUKTI: Teknologi Ion Perak terbukti secara saintifik dapat menghapuskan virus dan bakteria dalam tiga langkah.

Nippon Paint VirusGuard turut mendapat Pensijilan Label Hijau dan disenaraikan dalam Siri Pilihan Hijau, produk ini dirumus dengan mengambil kira kesihatan dan keselamatan semua peringkat umur.

Cat ini membantu mencegah pertumbuhan mikroorganisme dengan menggunakan sistem pelepasan ion terkawal, di samping bau yang rendah dengan sedikit sebatan organik meruap.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web www.nipponpaint.com.my/virusguard/keepingeveryonesafe.

  • oleh
  • Advertisement