Anda di sini

Leeds United dan Southampton akur tersingkir

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Piala Liga Inggeris di antara Southampton dan Brentford yang berlangsung di Stadium St Mary’s di Southampton, England. Brentford menewaskan kelab EPL itu dengan 2-0. — Gambar AFP
PENUH AKSI: Antara babak-babak aksi perlawanan Piala Liga Inggeris di antara Southampton dan Brentford yang berlangsung di Stadium St Mary’s di Southampton, England. Brentford menewaskan kelab EPL itu dengan 2-0. — Gambar AFP

LONDON: Dua kelab Liga Perdana Inggeris, Leeds United dan Southampton menjadi mangsa terbaharu tersingkir di pusingan kedua Piala Liga Inggeris pada Rabu selepas kelab Liga Satu, Hull, menang 9-8 menerusi penentuan sepakan penalti di Leeds sementara Southampton juga tumbang di tempat sendiri apabila kalah 0-2 kepada Brentford.

Pada penampilan pertama dalam Liga Perdana sejak 16 tahun, Leeds tidak bernasib baik untuk mengikat Liverpool di Anfield pada Sabtu lepas tetapi keputusan pengurusnya, Marcelo Bielsa menukar 11 pemain dari perlawanan menentang Liverpool membawa padah apabila pasukannya tumpul di jentera serangan  menentang pasukan liga bawahan.

Gol awal Malik Wilks buat Hull hampir memastikan kemenangan pada masa sebenar dan Leeds, yang menurunkan penyerang baharunya, Rodrigo dalam kesebelasan utama, gagal menembusi pintu gol Hull sehingga minit kecederaan apabila Ezgjan Alioski menjaringkan gol penyamaan.

Penentuan tendangan penalti menyusul dengan kedua-dua pasukan hanya gagal sekali dari lapan penalti pertama sebelum tendangan Jamie Shackleton diselamatkan dan Alfie Jones menyempurnakan tendangan untuk Hull melangkah ke pusingan ketiga.

Pengurus Southampton, Ralph Hassenhuttl menurunkan skuad yang kuat di St Mary tetapi masih gagal bangkit dari permulaan musim yang hambar selepas di Crystal Palace dalam aksi liga Sabtu lepas.

Brentford terlepas peluang naik ke Liga Perdana buat kali pertama musim lepas apabila tewas di final playoff kepada Fulham bulan lepas tetapi mereka menunjukkan bahawa mereka mempunyai kualiti untuk bersaing dengan pasukan Liga Perdana walaupun kehilangan penyerang utama, Ollie Watkins, yang berpindah ke Aston Villa.

Dua gol dalam tempoh enam minit pada akhir separuh masa pertama dari Christian Norgaard dan Josh Dasilva membolehkan Brentford melangkah ke pusingan ketiga.

Pada perlawanan lain, Everton menewaskan kelab Liga Dua, Salford City 3-0 menerusi gol Michael Keane, Gylfi Sigurdsson dan penalti lewat Moise Kean.

Fulham dan West Brom bangkit dari kekalahan pada perlawanan pertama mereka dalam liga pada minggu lepas.

Fulham menang tipis 1-0 di Ipswich menerusi gol Aleksandr Mitrovic sementara West Brom menewaskan kelab Liga Dua, Harrogate 3-0 dan Bristol City membelasah Northampton 4-0. — AFP

Advertisement