Anda di sini

Ketua kampung ditahan positif dadah

Advertisement
 

LAWAS: Seorang ketua kampung di daerah ini yang berumur 54 tahun ditahan polis apabila didapati positif dadah selepas satu serbuan ke atas sebuah rumah di daerah ini pada petang Khamis. 

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Roslan Leman berkata ketika serbuan, dia bersama rakan lelakinya berumur 28 tahun dan suspek wanita berumur 36 tahun yang berada di dalam bilik.

Ini merupakan kali kedua ketua kampung ini ditahan selepas pertama kali pada awal tahun ini.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan di bilik terbabit, kita menjumpai empat keratan tiub straw lutsinar berwarna merah jambu berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu keratan tiub straw lutsinar berwarna biru berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Keseluruhan dadah seberat 1.15 gram bernilai  RM120 itu disorok dalam satu beg kecil berwarna-warni  di atas lantai bilik tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Roslan memberitahu kedua suspek lelaki itu positif methamphetamine dan amphetamine hasil saringan awal polis, manakala suspek wanita negatif dadah.

“Hasil siasatan awal suspek 54 mengaku terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak tahun 1995 sehingga kini, manakala seorang lagi terlibat pada  2012 sehingga kini serta suspek wanita terbabit mengaku terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak tahun lepas sehingga kini," jelasnya.

Ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah ditahan di lokap, Balai Polis Lawas untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 atas kesalahan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran.

  • oleh
  • Advertisement