Anda di sini

Kampung Titingan diberi keutamaan untuk dibangunkan

Advertisement
 Jaujan disambut meriah penduduk di Kampung Titingan semasa mengadakan kempen PRN, di sini.
SAMBUT : Jaujan disambut meriah penduduk di Kampung Titingan semasa mengadakan kempen PRN, di sini.

TAWAU : Kampung Titingan akan diberi keutamaan dalam pembangunan pada masa akan datang supaya penduduknya dapat menikmati suasana tempat tinggal yang baik dan indah.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Jaujan Sambakong berkata memajukan kampung ini bukannya janji Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi ianya sudah dalam perancangan kerajaan Warisan sebelum ini.

"Projek pembangunan Kampung Titingan, Batu 4 Jalan Apas sampai Batu Payung dan beberapa daerah lain sepatutnya dilaksanakan tahun ini tetapi disebabkan ada pihak yang rakus ingin merampas kuasa menjadikan usaha ini terbantut.

"Namun, sekiranya kerajaan Warisan sekali lagi diberi mandat menerajui negeri Sabah, semua yang sudah dirancang sebelum ini akan diteruskan mengikut perancangan asal,"katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Mesra penduduk bersama pemimpin Parti Warisan, di sini kelmarin menurutnya, Kampung Titingan sangat terkenal di Sabah dan terletak di kawasan yang cukup strategik tetapi persekitaranya tidak tersusun dan banyak masalah yang timbul termasuklah jalan raya, parit tersumbat dan hampir setiap tahun berlaku kebakaran.

"Sebab itu, kerajaan Warisan sangat serius untuk bangunkan tempat ini supaya landskapnya tersusun. Ini bukan janji kosong kerana kerangkanya sudah dibuat hanya tinggal dilaksanakan sahaja,"katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga melihat daerah Tawau sangat berpotensi sebagai sumber ekonomi kerana lokasinya yang berhampiran dengan negara jiran Indonesia.

"Sudah tentunya Tawau menjadi pintu masuk rakyat dan ekonomi dari negara itu, lebih-lebih lagi sekiranya berlaku perpindahan ibu kotanya ke kalimantan, sudah tentu daerah ini mendapat limpahan ekonomi.

"Menyedari kepentingan daerah ini, kerajaan mahukan Tawau dibangunkan menjadi bandaraya kedua bagi menjaga imej negeri Sabah yang akan menjadi tumpuan pelancong luar akan datang,"katanya.

Dalam pada itu, Jaujan berkata, parti Warisan merupakan sebuah parti yang mementingkan kualiti pemimpinnya, sebab itu calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dan di kawasan lain diletakkan orang yang mempunyai wibawa dan pengalaman.

"Calon Warisan di Apas Datuk Amrullah Kamal dipilih kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas sebagai jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.

"Oleh itu, diletakan dia sebagai pemimpin supaya boleh membuat perancangan yang baik di daerah ini dan penduduk harus memilih beliau sekiranya mahukan perubahan di Tawau,"katanya

  • oleh
  • Advertisement