Anda di sini

Generasi muda diseru semai rasa cinta terhadap tanah tumpah darah

Advertisement
 Nelson (depan, dua kiri) bersama anak buahnya bersedia memulakan acara berlari mengelilingi rumah panjang bagi meraikan sambutan Hari Malaysia yang disambut di seluruh negara kelmarin.
PENUH SEMANGAT: Nelson (depan, dua kiri) bersama anak buahnya bersedia memulakan acara berlari mengelilingi rumah panjang bagi meraikan sambutan Hari Malaysia yang disambut di seluruh negara kelmarin.

SIBU: “Jangan kurang kasih sayang dan rasa cintakan diri, keluarga, negeri dan negara.”

Itu pesanan ringkas Tuai Rumah Nelson Surau ketika mengulas mengenai makna dan kepentingan sambutan Hari Malaysia yang diraikan di seluruh negara kelmarin.

Nelson, 60-an, dari Sungai Durin Kanan berkata, generasi muda hari ini perlu menyemai rasa kecintaan terhadap tanah tumpah darah kerana Malaysia dan Sarawak khasnya adalah tempat mereka lahir, membesar seterusnya meniti usia tua sebelum ‘pindah’ ke alam kekal.

“Justeru, saya menggesa anak muda hari ini perlu mencintai negeri dan negara seperti mana mereka menyayangi diri dan keluarga... dan resipi ialah jangan kurang kasih sayang sesama insan,” katanya.

Tambahnya, walaupun sambutan kali ini sangat berbeza susulan pandemik COVID-19 dan sambutan mengikut norma baharu, namun ia seharusnya tidak mematahkan semangat rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia.

“Generasi muda terus diajak mencintai Malaysia dan mengekalkan budaya bertoleransi, hormat-menghormati sesama bangsa, tidak prejudis terhadap kaum lain serta rasa kesetiaan kepada negeri dan negara.

“Elak memainkan sentimen yang boleh memecahkan kerukunan bangsa kerana sedikit api perkauman ditiup boleh menyebabkan negara huru-hara dan episod tragedi 13 Mei akan berulang,” katanya.

Sehingga kini katanya, beliau sebagai warga emas sangat berbangga kerana anak-anak muda hari ini boleh duduk bersama sekali pun mereka berbeza budaya, agama dan tradisi.

Katanya, sejarah negara menunjukkan betapa Malaysia pernah dijajah oleh kaum dan negara asing dan generasi hari ini tidak perlu mengulangi sejarah hitam negara.

“Cukuplah generasi kami dahulu merasai betapa peritnya ketika zaman perang dan penjajahan British, Jepun, konsfrontasi dengan Indonesia dan terakhir kekejaman komunis,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nelson bersama sebahagian anak buahnya menyambut Hari Malaysia dengan mengadakan aktiviti larian mengelilingi rumah panjang sambil membawa Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.

Acara kemudian disusuli sukaneka kecil dan majlis makan tengah hari dengan penduduk berkongsi menu makanan bagi memupuk semangat kejiranan, kasih sayang serta mengeratkan ikatan ukhuwah sesama penghuni rumah panjang.

Advertisement