Anda di sini

Cardi B bercerai dengan penyanyi rap Offset

Advertisement
 

SELEPAS mendirikan rumah tangga yang bergolak selama tiga tahun, bintang rap Cardi B telah memfailkan perceraian pada Selasa lalu dari suaminya, iaitu penyanyi rap Offset.

Pasangan tersebut, yang berkahwin secara sulit pada September 2017, sudah pun mengalami masalah yang menerima publisiti meluas dan menyebabkan Cardi B mengumumkan perpisahan mereka hampir dua tahun lalu.

“Kami amat mencintai satu sama lain tetapi keadaan tidak begitu menjadi di antara kami sejak sekian lama,” katanya dalam satu video pada Disember 2018 dalam Instagram, di mana dia mempunyai kira-kira 75.5 juta pengikut.

“Saya agak kami cuma semakin putus cinta, tetapi kami tidak bersama lagi.”

Tetapi kira-kira setahun kemudian, pasangan itu sudah berdamai semula dan Cardi B, atau nama sebenarnya Belcalis Marlenis Almanzar, memberitahu Vogue ketika itu bahawa perpisahan itu adalah berhubung kecurangan suaminya.

“Kami sudah mencapai persefahaman yang jelas. Bagi saya, monogami adalah satu-satunya jalan,” katanya.

Cardi B menuntut penjagaan ke atas anak perempuannya yang berusia dua tahun Kulture dan saraan anak dari Offset, atau nama benarnya Kiari Cephus.

Pembicaraan ditetapkan pada 4 November, menurut mahkamah Fulton County di Georgia, yang merupakan negeri asal Offset.

Walaupun kehidupannya sendiri mengalami pergolakan, Cardi B telah mencapai kejayaan dari asal usul yang sederhana di Bronx, New York.

Lagu hitnya pada 2017 ‘Bodak Yellow’ telah membawa kemasyhuran kepadanya, tetapi lagu yang menduduki tempat teratas carta 2020 ‘WAP’ membawa kontroversi kepadanya. — AFP

Advertisement