Anda di sini

Calon PCS DUN Sebatik fokus naiktaraf perkhimatan kesihatan

Advertisement
 Abdul Samat ketika mengadakan kempen PRN di Pulau Sebatik.
KEMPEN : Abdul Samat ketika mengadakan kempen PRN di Pulau Sebatik.

TAWAU : Calon Parti Cinta Sabah (PCS), Dewan Undang Negeri (DUN) N73 Sebatik memberi fokus usaha menaiktaraf sistem perkhidmatan kesihatan yang bermutu sekiranya diberi mandat oleh rakyat nanti.

Calonnya, Abdul Samat Akui, 55, berkata kemudahan kesihatan di Pulau Sebatik itu wajar diberikan perhatian bagi menyelesaikan rungutan penduduk yang mahukan perkhidmatan yang lengkap.

"Penduduk di beberapa buah kampung di Pulau Sebatik sememangnya memerlukan perubahan terutamanya dari aspek perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

"Kita melihat Klinik Kesihatan hanya ada di Kampung Wallacebay sahaja dan sekiranya mahu mendapatkan rawatan di pusat bandar Tawau terpaksa mengambil masa lebih 45 minit dengan menggunakan bot," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan dan kempen di Kampung Wallacebay dan Kampung Mentadak, Pulau Sebatik, semalam.

Menurutnya,  jika diberikan mandat pada PRN kali ini, langkah penyelesaian jangka pendek akan diambil termasuk membuka semula klinik desa di sini sebelum perancangan lebih besar dibuat.

Pada lawatan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan pelitup muka kepada guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Wallacebay dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallacebay.

Untuk rekod, DUN N73 Sebatik terletak di bawah Parlimen Kalabakan mempunyai seramai 10,131 pemilih berdaftar pada PRN ke-16 kali ini dengan majoritinya terdiri daripada  38.89 peratus kaum Bumiputer Sabah; Melayu (31.27 peratus); Cina (0.84 peratus); India (0.09 peratus); Bumiputera Sarawak (1.20 peratus); Orang Asli (0.01 peratus); dan lain-lain kaum (27.70 peratus).

Kerusi DUN Sebatik disandang Datuk Abdul Muis Picho selama tiga penggal sejak 2008 yang ketika itu bertanding atas tiket UMNO sebelum berhijrah ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) selepas mempertahankan kerusi sama pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, pada PRN kali ini Abdul Muis bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan calon iaitu Abdul Samat Akui (PCS); Hassan A Gani Pg Amir (WARISAN); Baharuddin Basrie (PPRS); Hassan Ibrahim (USNO); dan dua calon BEBAS iaitu Juhuran Kalmin dan Mohd Balbir Arjan.


 

  • oleh
  • Advertisement