Anda di sini

Bekalan air, elektrik jadi tumpuan utama di Senallang

Advertisement
 

SEMPORNA: Kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik akan menjadi isu utama yang akan diperjuangkan calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang Norazman Utoh Nain sekiranya diberi mandat pada 26 Sept ini.

Ini berikutan masih ada kampung-kampung di kawasan DUN berkenaan yang belum mendapat kemudahan asas berkenaan.

“Misalnya perkhidmatan kemudahan air bersih, walaupun loji berada di tanah besar, kita dapati kapasiti pengeluaran loji tidak mencukupi untuk bekalkan bekalan air di semua kawasan termasuk pekan Semporna,” katanya kepada Bernama.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Norazman berdepan dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah), D Pg Ahmad Datu Ali Alam (PPRS) dan Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO).

Norazman berkata rakyat juga perlu faham keperluan untuk memilih kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan bagi memudahkan penyaluran sebarang peruntukan untuk pembangunan.

“Rakyat juga perlu ambil kira pandemik COVID-19, baru-baru ini kita dapat lihat kesungguhan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membela rakyat dengan membelanjakan berbilion ringgit bagi memastikan keselesaan terjamin sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.-Bernama

Advertisement