Anda di sini

West Ham atasi Charlton, kurangkan keresahan Moyes

Advertisement
 Haller (kiri) melompat dan menanduk masuk gol kedua pada perlawanan pusingan kedua Piala Liga Inggeris antara West Ham United dan Charlton Athletic di Stadium London, kelmarin. — Gambar AFP
BERGAYA: Haller (kiri) melompat dan menanduk masuk gol kedua pada perlawanan pusingan kedua Piala Liga Inggeris antara West Ham United dan Charlton Athletic di Stadium London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Sebastian Haller mengurangkan keresahan West Ham United dengan dua gol ketika menewaskan Charlton 3-0 pada perlawanan pusingan kedua Piala Liga Inggeris tetapi Crystal Palace disingkirkan dari kejohanan apabila tewas menerusi penentuan sepakan  penalti oleh Bournemouth pada Selasa.

Haller menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan separuh masa pertama sebelum gol ketiga dijaringkan Felipe Anderson pada lewat permainan.

Ia adalah keputusan yang diperlukan oleh skuad kendalian David Moyes, yang akan bertemu sama ada Leeds United atau Hull di pusingan ketiga kejohanan selepas memulakan musim baharu  Liga Perdana Inggeris 2020/2021 dengan kekalahan 0-2 kepada Newcastle United di tempat sendiri hujung minggu lepas.

Aksi hambar menentang Newcastle itu hadir selepas bantahan penyokong terhadap dua pemilik kelab, David Gold dan David Sullivan sementara kapten West Ham, Mark Noble, juga mengkritik kelab kerana kurang cita-cita apabila menjual pemain tengah berbakat kelab, Grady Diangana kepada West Bromwich Albion.

Dengan perlawanan  menentang Arsenal, Wolves, Leicester, Tottenham, Manchester City dan Liverpool selepas ini, ia adalah  penting untuk mengelak penyingkiran awal dari kejohanan apabila  menentang Charlton, kelab divisyen tiga di Stadium London.

“Mungkin satu-satu kekecewaan ialah kami seharusnya menang lebih selesa,” kata Moyes.

“Tetapi Seb (Haller) menjaringkan beberapa gol, sesuatu yang bagus untuk keyakinan beliau. Kami juga mempunyai Michail Antonio pada akhir musim lepas dan sekarang kami berharap Seb akan mengekalkan rentak gol.”

Jack Wilshere tidak diturunkan dalam skuad West Ham walaupun Moyes melakukan 10 pertukaran, dengan kelab dilaporkan mahu menjual pemain yang kerap mengalami kecederaan itu.

Penjaga gol Bournemouth, Asmir Begovic, gagal menyempurnakan tendangan penalti beliau tetapi masih menjadi wira kelab ketika menewaskan Crystal Palace dengan keputusan 11-10 dalam penentuan sepakan penalti.

Selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan di Stadium Vitality, Begovic melihat penalti beliau ditepis penjaga gol Palace, Wayne Hennessey.

Ia adalah kegagalan pertama dari 21 tendangan penalti tetapi selepas Hennessey merembat tinggi dari palang gol, Begovic kemudian menyelamat tendangan dari kapten Palace, Luka Milivojevic untuk membolehkan Bournemouth menentang juara bertahan, Manchester City di pusingan berikutnya.

Jack Grealish meraikan kontrak baharu bersama Aston Villa dengan menjaringkan gol ketika menewaskan kelab Liga Satu, Burton Albion 3-1.

Pembelian rekod kelab, Ollie Watkins, mengikat kedudukan pada lewat separuh masa pertama buat Villa selepas Colin Daniel membuka jaringan seawal minit pertama.

Grealish, yang menandatangani kontrak baharu lima tahun pada awal hari yang sama, menjaringkan gol kedua dengan satu rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-88 sebelum Keinan Davis melengkapkan jaringan pada minit kecederaan untuk menempah pertemuan menentang sama ada Bristol City atau Northampton selepas ini.

Ryan Fraser meraikan penampilan sulung bersama Newcastle dengan gol kemenangan ketika menewaskan  kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers 1-0 di St James’ Park.

Pengurus Newcastle, Steve Bruce, melakukan 10 pertukaran dari pasukan yang  menang di West Ham dan Fraser mengambil sepenuh peluang dengan gol tunggal kemenangan pada minit ke-35.

Di pusingan seterusnya, Newcastle akan  menentang  kelab divisyen empat, Morecambe. — AFP

Advertisement