Anda di sini

PKPP: Polis tahan 584, kesalahan berhibur di kelab malam paling tinggi 

Advertisement
 
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Kesalahan membabitkan aktiviti di kelab malam merupakan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi dengan 292 kes direkodkan semalam, diikuti dengan 224 individu ditahan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka merupakan antara 584 individu yang ditahan polis semalam, selain 18 kerana melanggar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), 17 gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri, 14 tidak memakai pelitup muka, dan 13 menceroboh kawasan larangan.

“Enam premis didapati beroperasi lebih masa, dan daripada jumlah itu (keseluruhan kes) seramai 568 individu telah dikompaun manakala 16 individu direman," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Merujuk kepada Operasi Benteng pula, Ismail Sabri berkata 65 pendatang tanpa izin, tiga penyeludup dan tiga tekong ditangkap dalam operasi itu, selain menyaksikan rampasan 10 kenderaan darat.

Beliau berkata daripada jumlah itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menangkap 27 pendatang asing atas kesalahan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di Kompleks Rakan Muda, Bandar Penawar, Johor.

"Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan kerana terlibat dengan aktiviti penyeludupan di Rantau Panjang, Kelantan,” katanya dan menambah 29,748 pendatang asing telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 708 premis perniagaan termasuk peruncit (506), pemborong (172) dan pengilang (30).

Menurutnya secara keseluruhan bekalan barangan keperluan didapati mencukupi, dan mampu menampung keperluan dalam negara secara berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguatkuasa KPDNEHP turut melakukan 1,571 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,556 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 15 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. - Bernama 

Advertisement