Anda di sini

Petronas bayar SST RM2.95 bilion kepada Kerajaan Sarawak

Advertisement
Abang Johari menerima pembayaran SST daripada pengerusi Petronas Tan Sri Ahmad Nizam Salleh Petronas berjumlah RM2.95 bilion di Wisma Bapa Malaysia, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon


KUCHING: Petronas dan anak-anak syarikatnya hari ini membayar Cukai Jualan Negeri (SST) bagi produk petroleum RM2,956,671,407.36 kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menerima cek tersebut daripada Petronas berkata amaun tersebut merupakan SST untuk 2019.

"SST untuk 2020 akan dibayar apabila penilaian dilakukan berdasarkan jumlah sebenar produk petroleum seperti minyak mentah, urea, kondensat dan petroleum cecair yang dijual dan nilai jualan produk-produk ini," katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan cek di sini.

Bermula 1 Januari 2019, Kerajaan Sarawak mengenakan SST lima peratus terhadap produk petroleum seperti termaktub dalam Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998. 

Bagaimanapun, Petronas enggan membayar atas alasan sebagai tidak berperlembagaan.

Kerajaan negeri kemudiannya mengambil tindakan undang-undang susulan keengganan ini.

Mahkamah Tinggi Kuching pada 13 Mac 2020 memutuskan Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan SST terhadap produk petroleum.

Petronas kemudiannya memfailkan rayuan, tetapi kerajaan negeri dan Petronas kemudiannya mencapai persetujuan pada Mei 2020 bagi kedua-dua pihak menarik balik tindakan undang-undang.

(KEMAS KINI BERMULA DI SINI)

Menurut Abang Johari ketika menjelaskan lanjut, pembayaran SST oleh Petronas dan anak-anak syarikatnya itu adalah hasil dari penyelesaian yang dicapai antara Petronas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Katanya di mana Petronas setelah mencapai kesepakatan untuk menarik balik rayuan semakan kehakimannya ke Mahkamah Rayuan, dengan demikian mengiktiraf kuasa Perlembagaan Negeri untuk mengenakan cukai.

“Susulan daripada penyelesaian prosiding berkenaan, Petronas dan anak syarikatnya kini dianggap sebagai “pembayar cukai” dan mengemukakan pulangan mereka kepada Komptroler SST.

“Maka itu Komptroler telah membuat penilaian cukai yang perlu dibayar Petronas dan anak syarikatnya yang dikeluarkan notis berkaitan di bawah Ordinan pada 10 September 2020.

“Bayaran akan dibuat mengikut notis yang dibuat dalam majlis pada hari ini di sini,” katanya.

Beliau pada masa yang sama turut menyampaikan penghargaan kepada syarikat minyak dan gas lain seperti Shell, Murphy Oil, Pertamina and Sapura OMV yang telah membuat pembayaran awal serta menyelesaikan cukai kepada negeri ini yang berjumlah RM138 juta keseluruhan.

“Sarawak kini akan menumpukan perbincangan bersama kerajaan pusat untuk mencapai penyelesaian komersial mengenai perkara berkaitan dengan minyak dan gas yang dihasilkan di Sarawak.

“Dengan pembayaran semua syarikat minyak dan gas ini termasuk Petronas, kerajaan akan memberi keutamaan untuk projek pembangunan Sarawak,” tegas beliau.

  • oleh
  • Advertisement