Anda di sini

Kes tuntutan palsu RM800 juta: Sub kontraktor dibebas dengan jaminan SPRM

Advertisement
Suspek diiringi pegawai SPRM semasa berada di Mahkamah Kuching. 
Suspek diiringi pegawai SPRM semasa berada di Mahkamah Kuching. 

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membebaskan seorang sub kontraktor daripada siasatan kes rasuah dan tuntutan palsu pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan bernilai RM800 juta di Sarawak dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan suspek lelaki berusia 44 tahun itu dibebaskan dengan jaminan SPRM RM50,000 berserta seorang penjamin tempatan. 

Terdahulu, Pegawai Penyiasat Timbalan Pendakwa Raya S. Thangavelu memohon suspek dibebaskan berikutan siasatan terhadapnya selesai dilaksanakan. 

Sebelum ini, suspek direman pada 15 September lalu yang berakhir hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. 

Suspek yang berpakaian lokap SPRM tiba di mahkamah di sini, jam lebih kurang 9.07 pagi tadi diiringi anggota SPRM.

Difahamkan, suspek yang merupakan pengarah sebuah syarikat pembinaan ditangkap oleh pegawai SPRM pada 14 September, jam 6.30 petang.  

Suspek diwakili peguam, Shankar Ram dan Wong King Wei. 

Setakat ini, seramai empat individu ditahan bagi membantu siasatan bagi kes rasuah melibatkan Projek pembinaan jalan raya yang menghubungkan beberapa bandar kecil di Sarawak dinamakan ‘Projek Jiwa Murni’.

Namun, dua pengarah syarikat yang bergelar 'Datuk' antara yang terawal ditahan bagi kes tersebut, dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM100,000 pada 13 September lalu.

Seorang lagi peguam yang disyaki terlibat pula dibebaskan pada 10 September lalu selepas mahkamah menetapkan tiada bukti dapat mengaitkan suspek dengan projek pembinaan jalan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement