Anda di sini

Kepaduan WARISAN Plus bawa gelombang besar: Shafie

Advertisement
 Shafie (kanan) dan Madius (kiri) tidak ketinggalan merakamkan gambar swafoto bersama penduduk yang hadir majlis itu.
MESRA: Shafie (kanan) dan Madius (kiri) tidak ketinggalan merakamkan gambar swafoto bersama penduduk yang hadir majlis itu.

TAMPARULI: Kepaduan dalam WARISAN Plus mampu melahirkan satu gelombang besar dalam perjuangan tanpa mengira batasan agama dan kaum.

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yakin, gelombang yang begitu besar kali ini adalah hasil kepaduan semua parti di bawah WARISAN Plus.

Katanya, walalupun tanpa calon WARISAN sendiri di kawasan Tamparuli dan Kiulu, kebulatan dalam perjuangan tetap dapat dipaparkan kepada masyarakat di kedua-dua kawasan.

 

"Kali ini cukup nyata tidak kira siapa calon, kita tetap berpadu untuk memastikan kita dapat tumbangkan UMNO dan rakan-rakan mereka.

"Perkara ini penting untuk kita tentukan hala tuju dari segi pembangunan, kemajuan dan usaha membantu rakyat Sabah dapat ditingkatkan serta diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dan Tamparuli di sini semalam.

Majlis berkenaan turut dihadiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang bertanding untuk kerusi Kiulu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Dalam pada itu Shafie berkata, tindakan beberapa cawangan UMNO dan cawangan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyertai WARISAN dan UPKO dilihat sebagai satu perkembangan sihat kepada perjuangan WARISAN Plus.

"Saya yakin ini dapat memantapkan lagi perjuangan kita di Sabah dan berharap membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan yang mantap dengan kepaduan kita.

"Ini juga sejajar dengan motto kita 'In God We Trust, Unite We Must' bagi memastikan supaya pembelaan kepada rakyat di Sabah dan negeri ini dapat dipertahankan dengan kepaduan tenaga kita," jelasnya.

Pada majlis itu, Shafie turut melancarkan Pelan Pembangunan Strategik Daerah Kecil Kiulu.

Turut hadir calon WARISAN Plus dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Alijus Sipil.

  • oleh
  • Advertisement