Anda di sini

Depay sumbang gol pada perlawanan terakhir bersama pasukan Lyon

 Depay (kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Montpellier Arnaud Souquet (kanan) dan pemain tengah Montpellier Jordan Ferri pada perlawanan Ligue 1 Perancis antara Montpellier Herault SC dan Olympique Lyonnais di  stadium Mosson di Montpellier, Perancis. — Gambar AFP
DIASAK: Depay (kiri) bersaing dengan pemain pertahanan Montpellier Arnaud Souquet (kanan) dan pemain tengah Montpellier Jordan Ferri pada perlawanan Ligue 1 Perancis antara Montpellier Herault SC dan Olympique Lyonnais di stadium Mosson di Montpellier, Perancis. — Gambar AFP

LYON: Memphis Depay mungkin menjaringkan gol terakhir bersama Lyon ketika pasukannya tewas 1-2 di Montpellier selepas spekulasi satu perpindahan ke Barcelona.

Depay menjaringkan satu gol penalti ketika berbaki 10 minit permainan ketika Lyon gagal bangkit dari ketinggalan dua gol Teji Savanier.

Skuad kendalian Rudi Garcia sudah ketinggalan 0-1 dari penalti Savanier pada minit ke-38 apabila pemainnya ,Houssem Aouor dibuang padang kerana kekasaran ke atas Arnaud Souqet sebelum rehat.

Savanier menambah jaringan pada minit ke-59 dan mereka berjaya bertahan dari asakan lewat Lyon berikutan dengan gol Depay, dari penalti yang diperolehi selepas Hilton dibuang padang kerana terjahan keras ke atas Rayan Cherki.

Akhbar De Telegraaf melaporkan pada awal Selasa bahawa Depay, dijangka akan menyertai rakan senegaranya dari Belanda , Frenkie de Jong dan jurulatih Ronald Koeman di Barca pada minggu ini dengan satu perpindahan bernilai 25 juta euro.

Namun presiden kelab Lyon, Jean-Michel Aulas berkata pada Selasa bahawa rakan sejawatannya di Barcelona, Josep Maria Bartomeu, memberitahu beliau bahawa kelabnya tidak mampu untuk membeli Memphis Depay.

“Presiden Barcelona memberitahu saya pada Ahad bahawa Barca terjejas teruk oleh krisis COVID-19 dan tidak mampu untuk membuat sebarang tawaran,” kata Aulas menerusi ciapan di Twitter.

Koeman memburu seorang penyerang selepas memberitahu Luis Suarez bahawa beliau tidak berada dalam perancangan kelab untuk musim baharu.

Depay memainkan peranan penting ketika  Lyon melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim lepas dan juga menjaringkan hatrik pada perlawanan pertama musim baharu Ligue 1 Perancis 2020/2021 ketika menewaskan Dijon.

Bagaimanapun, beliau ada mengumumkan bahawa beliau tidak mahu melanjutkan kontraknya di Lyon, yang akan berakhir pada musim panas tahun hadapan dan tidak menyembunyikan keinginan  untuk bermain bersama “kelab yang lebih besar”.

Pada perlawanan lewat, Paris Saint Germain (PSG) akan cuba memulakan semula musim mereka apabila menanti kunjungan Metz.

PSG tewas dua perlawanan pertama musim baharu dan terjejas teruk dengan kes positif COVID-19 yang menyebabkan mereka tidak dapat menurunkan tujuh pemain utama.

Marseille akan menanti kunjungan Saint-Etienne pada perlawanan esok. — AFP

Advertisement