Anda di sini

COVID-19: Kluster keempat dikesan di Semporna Sabah

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bilangan kluster baharu di Sabah terus meningkat dengan kluster baharu dikesan di Semporna pada Isnin dikenali sebagai Kluster Selamat, menjadikan ia kluster keempat selepas Kluster Benteng LD, Kluster Pulau dan Kluster Laut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks kluster baharu itu iaitu kes ke-9,969 merupakan seorang wanita warganegara berusia 32 tahun yang didapati positif COVID-19 pada 14 Sept ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang. 

"Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, satu lagi kes positif COVID-19 telah dikesan, yang mana kes merupakan pegawai perubatan yang merawat kes indeks," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 118 individu telah disaring dalam kluster itu dan daripada jumlah itu dua individu dikesan positif COVID-19 manakala bakinya sedang menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster itu giat dijalankan di lapangan.

"Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti," katanya. 

Mengulas mengenai Kluster Benteng LD, beliau berkata terdapat dua kes baharu dilaporkan hari ini yang menjadikan jumlah kes positif kluster itu adalah sebanyak 474 kes.

Sehingga hari ini juga, seramai 7,670 individu di Lahad Datu dan Tawau telah disaring dalam kluster berkenaan.

Mengenai Kluster Sungai pula, Dr Noor Hisham berkata terdapat enam kes baharu dilaporkan, yang menjadikan jumlah kes positif kluster itu adalah sebanyak 65 kes.

"Seramai 22,317 individu telah disaring dalam kluster ini, yang mana seramai 22,153 disaring di Kedah, 136 individu disaring di Pulau Pinang dan 28 disaring di Perlis... jumlah saringan juga adalah termasuk 1,148 petugas kesihatan, di mana seramai 26 petugas dikesan positif COVID-19," katanya. 

Dr Noor Hisham seterusnya mengingatkan orang ramai untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan dan juga ketika berada di tempat awam, memandangkan penjarakan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sempit dan sesak.

"Namun masyarakat perlu akur kepada nasihat yang diberikan bagi mengurangkan risiko jangkitan, tambahan pula, aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP dapat meningkatkan risiko penularan COVID-19 kepada orang ramai," katanya. - Bernama 

Advertisement