Anda di sini

Aubameyang sambung semula kontrak bersama Arsenal

Advertisement
AUBAMEYANG
AUBAMEYANG

LONDON: Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang, menamatkan berbulan-bulan spekulasi tentang masa depan beliau apabila menandatangani kontrak baharu tiga tahun,  menurut pengumuman kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Sumber memberitahu penyiaran ESPN bahawa kontrak baharu bernilai 250,000 pound seminggu dengan bonus berkaitan prestasi dan ia mewakili satu peningkatan dari gaji lama 180,000 pound seminggu sebelum ini.

Aubameyang menjaringkan 72 gol dalam 111 penampilan sejak menyertai Arsenal dari Borussia Dortmund dengan nilai 56 juta pound pada 2018 dan pengesahan kontrak baharu beliau merupakan satu perangsang besar kepada pengurus Arsenal, Mike Arteta ketika beliau cuba membimbing kelab kembali ke kejohanan Liga Juara-Juara.

“Menandatangani untuk kelab istimewa ini tidak pernah diragui,” kata Aubameyang dalam satu kenyataan. “Terima kasih kepada penyokong, rakan sepasukan, keluarga dan semua orang di kelab ini yang menyebabkan saya berasa saya selayaknya berada di sini.

“Saya percaya dengan Arsenal. Kami boleh mencapai sesuatu yang hebat bersama. Kami mempunyai sesuatu yang menarik di sini dan saya percaya yang terbaik akan tiba di Arsenal.”

Chelsea dan Barcelona adalah antara pasukan yang menyuarakan minat untuk mendapatkan Aubameyang sebelum ini, dengan kontrak lama beliau amat tamat pada musim panas tahun hadapan tetapi ESPN melaporkan pada bulan Julai bahawa pemain berusia 31 tahun itu bersedia untuk terus komited di Arsenal jika diberikan kontrak tiga tahun bernilai 250,000 pound seminggu.

Arsenal bersetuju dengan terma itu selain tambahan bonus berkaitan prestasi jika pasukan layak ke Liga Juara-Juara atau jika Aubameyang memenangi anugerah Kasut Emas (penjaring terbanyak) di antara sekarang dan akhir kontraknya pada 2023.

Sumber mendedahkan bahawa penyerang antarabangsa Gabon itu diberikan jaminan oleh kelab  untuk menyokong Arteta dalam pasaran perpindahan ketika beliau cuba membina skuad untuk memburu empat tangga teratas liga.

Penyerang Chelsea, Willian, menyertai Arsenal tanpa yuran perpindahan pada penutup musim selain kelab juga mendapatkan Gabriel Magalhaes dari Lille dengan yuran perpindahan 27 juta pound.

“Ia adalah penting untuk Pierre-Emerick terus kekal bersama kami. Beliau pemimpin yang penting untuk pasukan dan bahagian yang besar dari apa yang kami bina di sini,” kata Arteta.

“Beliau mahu berada di kalangan  pemain terbaik dunia dan meninggalkan kesannya. Beliau boleh melakukannya di sini.”

Arsenal melaporkan masalah kewangan pada musim panas ini apabila 55 kakitangan kelab dipecat dan pengurangan kos juga dijangka dilakukan di jabatan lain dalam kelab itu. — AFP

Advertisement