Anda di sini

Wolves kekal aktif selepas berjaya mengalahkan Sheffield

Advertisement
 Romain (tengah) menjaringkan gol kedua pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Sheffield United dan Wolverhampton Wanderers di Bramall Lane di Sheffield, utara England kelmarin. — Gambar AFP
BERGAYA: Romain (tengah) menjaringkan gol kedua pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Sheffield United dan Wolverhampton Wanderers di Bramall Lane di Sheffield, utara England kelmarin. — Gambar AFP

SHEFFIELD: Kelab Wolves tidak menunjukkan sebarang petanda keletihan apabila memulakan musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United pada Isnin.

Hanya 34 hari selepas tewas kepada Sevilla pada perlawanan terakhir mereka musim lepas, skuad kendalian Nuno Espirito Santo kelihatan cergas berbanding jangkaan apabila bermula garang di Bramall Lane.

Raul Jimenez dan Romain Saiss meletakkan Wolves 2-0 di hadapan seawal enam minit dan pasukan pelawat kemudian mengawal permainan sehingga tamat walaupun mempunyai tempoh penutup musim yang singkat berbanding kebiasaannya.

Ia adalah cara sempurna untuk memulakan musim buat Nuno, yang menandatangani kontrak baharu tiga tahun ketika beliau cuba memperbaiki kedudukan menamatkan dua musim terakhir di tangga ketujuh liga.

Mengatasi pencapaian terbaik mereka itu sejak 1960an sememangnya bukan mudah  tetapi ada cukup kualiti dalam skuad Nuno untuk mencabar kelayakan ke Eropah.

“Ini adalah perlawanan pertama selepas berakhirnya musim lepas. Saya berasa sangat gembira,” kata Nuno.

“Karektor, cara mereka bermain, keazaman bertahan pada akhir permainan.

“Ia merupakan tiga musim yang hebat. Kami mencipta sesuatu yang benar-benar istimewa. Kami harus terus kekal merendah diri.”

Pengurus Sheffield, Chris Wilder, menambah: “Untuk bangkit dari permulaan buruk seperti yang kami alami adalah sukar, mungkin tidak pernah berlaku sepanjang saya menjadi pengurus kelab.

“Saya tahu apa yang saya ada dalam pasukan tetapi hakikatnya, itulah yang terpaksa kami harungi.”

Pada minit ketiga, Daniel Podence melepasi kawalan John Lundstram sebelum melakukan hantaran lintang yang disempurnakan Jimenez.

Jimenez hampir menambah jaringan tidak lama selepas itu tetapi rembatannya ditepis penjaga gol Aaron Ramsdale,  yang membuat penampilan kedua bersama Sheffield selepas kembali ke kelab dari Bournemouth pada penutup musim.

Ramsdale bagaimanapun gagal menghalang gol kedua Wolves pada minit keenam dari rembatan lencong Saiss.

John Fleck hampir merapatkan kedudukan buat Sheffield pada awal separuh masa kedua apabila rembatannya terkena palang sebelum satu cubaan George Baldock tersasar. — AFP

Advertisement