Anda di sini

UNIFOR salur RM500,000 kepada persatuan gereja di Bintulu

Advertisement
Talib selaku mewakili UNIFOR menyampaikan cek sumbangan kepada Pastor Joseph dalam acara penyerahan sumbangan pada Selasa.
Talib menyampaikan cek sumbangan UNIFOR kepada Pastor Joseph dalam acara penyerahan sumbangan pada Selasa.

BINTULU: Persatuan Gereja-Gereja Sarawak cawangan Bintulu menerima sumbangan sebanyak RM500, 000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR). 

Cek bantuan diserahkan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip kepada bendahari persatuan, Pastor Joseph Baja di sebuah hotel di sini, pada Selasa.

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak berkata, UNIFOR yang menjadi medium kerajaan Sarawak bagi menyalurkan bantuan buat agama-agama lain di negeri ini  memainkan peranan besar dalam menjaga kebajikan agama-agama tersebut.

"Walaupun agama Islam adalah agama rasmi negara, namun kebajikan agama-agama lain di negeri ini akan tetap terjaga melalui bantuan yang disalurkan UNIFOR," jelasnya pada majlis ringkas tersebut.

Katanya, ini merupakan keunikan Sarawak yang amat mementingkan kebajikan semua agama serta pegangan masyarakat pelbagai kaum dan etnik di negeri ini. 

Talib berkata, keharmonian antara kaum telah tersemai di dalam hati sanubari setiap rakyat di negeri ini dan ianya harus dikekalkan sampai bila-bila. 

Semua ini menurutnya hasil kebijaksanaan tampuk pemerintahan kerajaan negeri sejak sekian lama yang terus diperhalusi di bawah naungan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada masa sekarang.

"Saya berharap agar keharmonian antara kaum di negeri ini akan terus diperkukuh dan dipertahankan tanpa menghiraukan propaganda pihak luar yang cuba untuk memecahbelahkan rakyat dengan menggunakan sentimen keagamaan," tegas beliau. 

  • oleh
  • Advertisement