Anda di sini

UNIFOR jaga kebajikan agama lain di Sarawak

Advertisement
 Jaul (dua kiri) ketika merasmikan Program Perpaduan Antara Agama sempena Sambutan Hari Malaysia 2020.
RASMI: Jaul (dua kiri) ketika merasmikan Program Perpaduan Antara Agama sempena Sambutan Hari Malaysia 2020.

SIBU: Sarawak amat bertuah kerana mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menjaga kebajikan agama lain selain Islam termasuk Kristian, Buddha, Sikh, Hindu, Baha’i dan Tao.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Saimon berkata, pada 2017 kerajaan negeri telah memperuntukkan RM15 juta kepada UNIFOR bagi tujuan membina, membaiki dan menaik taraf tempat ibadah.

“Jumlah ini bertambah pada 2018 kepada RM20 juta, RM30 juta pada 2019 dan RM50 juta pada tahun ini.

“Ini menunjukkan kerajaan negeri komited membantu kebajikan agama-agama lain,” ujarnya ketika berucap pada Program Perpaduan Antara Agama sempena Sambutan Hari Malaysia 2020 yang dihadiri 200 peserta di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut Jaul, kerajaan negeri juga berikrar membantu UNIFOR dengan memberikan lebih banyak geran memandangkan ba-nyak permohonan diterima daripada pelbagai badan agama setiap tahun.

Kerajaan negeri katanya, telah memperuntukkan tanah seluas tiga ekar di Jalan Ong Tiang Swee milik kerajaan bagi membina kompleks UNIFOR, yang akan menjadi pejabat tetap unit ini.

“Hanya di Sarawak kita menemui unit ini (UNIFOR) yang bertindak sebagai sebuah agensi kerajaan bagi menjaga keperluan bukan Islam.

“UNIFOR akan bertindak sebagai tumpuan bagi pelbagai badan keagamaan untuk berhubung dengan agensi kerajaan negeri dan persekutuan dalam soal permohonan tanah serta dana bagi pembinaan tempat ibadat,” jelasnya.

Dengan penubuhan UNIFOR Charitable Trust, Jaul berharap UNIFOR dapat memberikan lebih banyak sumbangan dan peluang bagi memenuhi keperluan dan kebajikan agama-agama lain di negeri ini.  

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik, Pe-ngarah UNIFOR Richard Lon serta Timbalan Residen Sibu Wong Hie Sieng.

Advertisement