Anda di sini

Strategi Lampard berhasil, Chelsea benam Brighton 3-1

Advertisement
 Werner (tengah) diasak penjaga gol Brighton Mathew Ryan pada perlawanan Liga Inggeris antara Brighton and Hove Albion dan Chelsea di  Stadium Ekspres Komuniti Amerika di Brighton, selatan England kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Werner (tengah) diasak penjaga gol Brighton Mathew Ryan pada perlawanan Liga Inggeris antara Brighton and Hove Albion dan Chelsea di Stadium Ekspres Komuniti Amerika di Brighton, selatan England kelmarin. — Gambar AFP

BRIGHTON: Pengurus Chelsea, Frank Lampard, percaya pasukannya sudah bersedia menunjukkan faedah dari perbelanjaan sekitar 200 juta pound kelab ketika memulakan musim baharu Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-1 di Brighton pada Isnin.

Lampard berbelanja besar pada musim panas ini dengan beberapa pembelian pemain baharu dan pulangan awal dari pelaburan besar itu kelihatan memberangsangkan.

Penyerang Timo Werner, yang dibeli dengan nilai 53 juta pound dari RB Leipzig, memperolehi satu tendangan penalti yang disempurnakan Jorginho untuk meletakkan Chelsea di hadapan.

Kai Havertz, yang dibeli dengan nilai 70  juta pound dari Bayer Leverkusen, tidak begitu memberi impak tetapi Lampard berasa yakin akan ada tempoh yang lebih baik untuk pemain muda antarabangsa Jerman itu.

“Kepantasan Timo untuk memperolehi penalti menunjukkan beliau cergas dan sentiasa mengancam pintu gol lawan. Beliau bergerak dengan baik dalam padang dan saya menyukai prestasinya,” kata Lampard.

“Dengan Kai, kita melihat banyak perkara positif juga. Beliau akan meningkat lebih bagus dengan lebih banyak perlawanan dan kedua-dua pemain ini pastinya sangat penting untuk kelab.”

Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, melakukan satu lagi kesilapan yang membolehkan Leandro Trossard mengikat kedudukan buat Brighton.

Namun jaringan cantik Reece James meletakkan Chelsea kembali di hadapan sebelum rembatan Kurt Zouma melengkapkan jaringan.

Ia adalah keputusan menggalakkan buat Lampard, yang mengakui beliau kini berada dalam tekanan untuk memberikan saingan kejuaraan selepas berbelanja lebih banyak dari mana-mana kelab setakat musim panas ini.

“Saya fikir untuk menjangkakan semuanya berhasil pada hari pertama musim adalah sangat sukar tetapi apa yang mereka lakukan ialah menunjukkan sedikit keazaman,”  kata Lampard.

“Saya benar-benar suka dengan etika kerja dan disiplin pasukan. Kami sudah bersama sebagai sebuah pasukan selama empat hari selepas bola sepak antarabangsa. Kami mempunyai beberapa pemain dikuarantin sebelum ini dan juga dengan kehadiran pemain baharu.”

Chelsea menamatkan musim lepas dengan ketinggalan 33 mata di belakang Liverpool sebelum tewas di final Piala FA Inggeris kepada Arsenal tetapi mereka berazam untuk meningkat jika Lampard boleh mengeluarkan yang terbaik dari barisan pemain baharunya.

Pemain baharu lain Lampard, Hakim Ziyech dan Ben Chilwell, tidak dapat diturunkan kerana kecederaan sementara Thiago Silva belum bersedia untuk diturunkan selepas baharu kembali menjalani latihan selepas perpindahan tanpa yuran dari Paris Saint Germain (PSG).

Penyokong Chelsea pastinya mengenang kembali bahawa ia adalah kali ketiga mereka memulakan musim baharu liga dengan kemenangan pada perlawanan hari Isnin, di mana Chelsea kemudian memenangi kejuaraan liga pada musim 2014/2015 dan 2016/2017.

Satu-satu kekecewaan buat Lampard ialah kesilapan Kepa.

Penjaga gol termahal dunia itu sudah berada dalam tekanan untuk memperbaiki kesilapan mudah beliau pada musim lepas dan dengan Chelsea sudah berunding dengan kelab Rennes untuk mendapatkan penjaga gol Edouard Mendy, harapan beliau untuk mengekalkan status sebagai penjaga gol nombor satu di kelab semakin tipis.

Menjelaskan bahawa beliau tidak berputus asa dengan Kepa, Lampard berkata: “Saya gembira dengan Kepa, saya melihat keyakinan dalam beliau. Beliau di sini, beliau adalah penjaga gol kami dan saya berasa gembira dengan beliau.”

Werner adalah penyerang tengah Chelsea sementara Havertz berada di sayap kanan dalam formasi tiga penyerang.

Werner menunjukkan bakat beliau ketika Chelsea membuka jaringan pada minit ke-23 apabila pemain tengah Brighton, Steven Alzate kehilangan bola, membolehkan Jorginho mengumpan bola kepada Werner ke hadapan pintu gol tetapi dijatuhkan oleh penjaga gol Brighton, Mat Ryan, menyebabkan pengadil tidak teragak-agak memberikan tendangan  penalti.

Jorginho, yang menjadi kapten Chelsea pada perlawanan itu, mudah menewaskan Ryan.

Brighton mengikat kedudukan pada mi nit ke-54 apabila rembatan Trossard lolos dari dakapan Kepa tetapi  kesilapan itu kelihatan tidak memberi banyan kesan apabila James meletakkan Chelsea kembali di hadapan dalam tempoh dua minit kemudian dengan satu rembatan cantik dari jarak jauh.

Chelsea melengkapkan jaringan dan tiga mata penuh apabila Zouma menyempurnakan satu tendangan sudut James. — AFP

Advertisement