Anda di sini

Sarawak mesti melaksanakan dasar alam sekitar dan perhutanan mampan, progresif - Larry Sng

Advertisement
 

KUCHING: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Larry Sng (gambar) berkata kerajaan negeri mesti melaksanakan dasar alam sekitar dan perhutanan yang mampan serta progresif menerusi penglibatan aktif rakyat dalam program pemuliharaan dan perhutanan semula.

Dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2020, Sng berpendapat ini akan melindungi alam sekitar dan memperkasakan ekonomi komuniti tempatan menerusi skim pengurangan pelepasan karbon berhubung perubahan iklim antarabangsa.

Menurutnya hutan borneo dan kepelbagaian ekosistem adalah sumber yang amat berharga mesti dilindungi dan dikekalkan untuk generasi akan datang.

"Kerajaan mesti mengkaji semula semua konsesi semasa, terutama terhadap pihak yang aduan dibuat mengenai mereka. Semua penduduk asal yang tinggal di dalam kawasan konsesi hutan seharusnya mendapat manfaat daripada program peningkatan pendapatan dibiayai Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (KWKKH)," katanya.

Sng yang juga Ahli Parlimen Julau mencadangkan komuniti seharusnya dibayar atas usaha mereka menanam pokok sebagai sebahagian daripada skim ini dan Tabung Amanah Negara mesti ditubuhkan di Sarawak bagi menyalurkan hasil daripada program-program perhutanan semula.

"Peningkatan sumber yang akhirnya boleh digunakan harus disimpan di dalam 'Amanah Pembangunan' yang diaudit secara telus serta bebas bagi memastikan wang dibelanja dengan bijak untuk pembangunan luar bandar. 

"Ia tertakluk kepada jawatankuasa pemilihan parlimen yang bebas bagi memastika dana ini digunakan bagi tujuan pembangunan komuniti  lestari dengan impak positif kepada kumpulan ini.

"Dana ini, seharusnya digunakan untuk membina dan menyelenggara jalan serta lebuh raya menghubungkan kampung-kampung, pekan dan bandar di seluruh Sarawak, membina serta membaik pulih jambatan," katanya.

Tambahnya lagi, "Ia juga digunakan untuk menyediakan bekalan air bersih serta elektrik kepada semua komuniti luar bandar di Sarawak serta menaik taraf sekolah dan klinik penjagaan kesihatan tempatan."

Katanya lagi, projek-projek yang menyediakan peluang pekerjaan dan mewujudkan tenaga kerja berkemahiran berkhidmat untuk komuniti setempat manakala kawasan perhutanan semula akan memperkenalkan semula kepelbagaian flora dan fauna dalam komuniti terbabit seterusnya menyediakan sumber ekopelancongan mampan.

Sng berkata ketika banyak yang boleh diraikan di Sarawak pada masa banyak juga yang dibentuk semula dan dibubah bagi memastikan keadilan untuk semua rakyat negeri ini.

"Ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri dan persekutuan memastikan semua rakyat Sarawak dapat berkongsi kekayaan serta kemakmuran negeri ini dan tidak membenarkan kekayaan ini kekal di tangan elit memerintah minoriti," katanya.

"Langkah-langkah segera mesti diambil oleh kerajaan Sarawak bagi memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negeri dan menyediakan pekerjaan terutama untuk penduduk luar bandar," katanya.

Advertisement